Ahmad Bashah Dijangka Angkat Sumpah MB Kedah Ke-12 Esok?


Kenyataan Akhbar Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir petang tadi merupakan antara usaha terkahir beliau untuk mengubah pendirian majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah dari Barisan Nasional agar menyokong beliau.

Seramai 19 ADUN BN telah menandatangani akuan bersumpah menyokong pengguguran Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah. Walaupun ada dua Adun yang mendakwa dalam ucapan dan media sosial bahawa mereka “terpaksa” menandatangani akuan bersumpah tersebut, namun tiada siapa antara mereka membuat keputusan menarik balik akuan sumpah terbabit.

Sementara itu, kenyataan akhbar petang tadi yang bertujuan mahu menyelamtkan kedudukan Mukhriz akhir mendedahkan sesuatu yang sangat kritikal dan penting dalam penyingkiran Mukhriz. Iaitu Mukhriz telah hilang sokongan dan kawalan ke atas Jentera Kerajaan Negeri dan UMNO Negeri serta masalah komunikasi dengan Istana.

Menurut penganalisis politik, Ab Jalil Backer, “Apabila seorang Menteri Besar memberitahu umum bahawa 6 daripada 9 EXCO tidak hadir mesyuarat yang beliau panggil, itu bermakna beliau sudah hilang kawalan dalam pentadbiran negeri.

“Apabila seorang Menteri Besar menulis beliau mendapat khabar, mendapat maklum bahawa Jemaah Pemangku Sultan…, bukannya dimaklumkan oleh Jemaah Pemangku Sultan secara langsung; ini bermakna beliau telah hilang pengaruh dengan Istana.”

“Apabila seorang Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri memberitahu 14 daripada 15 Ketua Bahagian tidak lagi menyokong beliau, itu bermakna beliau telah hilang kawalan dalam parti.”

“Apabila sudah hilang pengaruh dalam kerajaan, Istana dan parti, jalan terbaik ialah meletak jawatan.”

Perjumpaan Biasa atau Angkat Sumpah?

Esok Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN Barisan Nasional pada jam 2 petang. Tidak dipastikan sama ada perjumpaan ini merupakan perjumpaan mendapatkan maklum balas mengenai kedudukan Menteri Besar Kedah atau Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar yang baharu.

Mukhriz Mahathir memberitahu wartawan Suara.tv bahawa beliau tidak akan dalam Majlis tersebut sekaligus memberi gambaran Mukhriz telah mengetahui nasib beliau.

Sementara itu, Jemaah Pemangku Sultan dijangka mengumumkan ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar baharu esok menggantikan Mukhriz Mahathir selepas perjumpaan dengan ADUN-ADUN BN tersebut.

Sehingga kini tidak jelas sama ada Majlis Angkat Sumpah akan berlaku esok atau pada hari Selasa.

Sumber: portal myKMU.net