Ahmad Lebai Sudin, Ku Rahman, Ahmad Bashah: 3 Senarai Akhir Calon MB?

Datuk Ahmad Lebai Sudin
Tiga nama dalam senarai terakhir calon Menteri Besar Kedah yang baharu untuk dipersembahkan kepada Tuanku Yang Di Pertuan Agong ialah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (ADUN Bakar Bata), Datuk Ahmad Lebai Sudin (Bukit lada) dan Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail (Guar Cempedak).

Sungguhpun terdapat usaha terakhir kem Mukhriz yang berjumpa Tunku Temenggung Kedah petang tadi, ia dilihat tidak lagi mengubah apa-apa kerana 20 ADUN BN telah memberi persetujuan kepada Pengerusi BN untuk melakukan perubahan dalam pucuk pimpinan negeri Kedah.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka menemui Yang Di Pertuan Agong, yang merupakan Sultan Kedah, Tunku Abdul Halim pada Selasa atau Rabu ini bagi mempersembahkan ketiga-tiga nama ini dengan Ahmad Bashah, Timbalan Menteri KPDNKK, sebagai pilihan pertama.

Mohd Najib dijangka memohon perkenan Ahmad Bashah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.

Menurut sumber, nama Ahmad Zaini Jaafar (Bukit Kayu Hitam) tidak lagi berada dalam senarai akhir untuk dipersembahkan kepada Tuanku walaupun sebelum ini antara yang disebut-sebut sebagai sebahagian calon yang dipertimbangkan.

Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail
Bagaimanapun terdapat khabar angin yang bertiup kencang bahawa nama Ahmad Lebai Sudin mungkin menjadi pilihan berikutan hubungan baik beliau dengan Kedah Civil Service (KCS) dan Istana.

Ahmad Lebai Sudin, graduan Universiti Malaya dan juga bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), merupakan ADUN pertama yang memecahkan kemelut politik Kedah pada April tahun lalu apabila mendesak Mukhriz melepaskan jawatan sekiranya tidak menyokong Presiden UMNO dan tidak mampu melakukan perubahan ke atas negeri Kedah.

Ketika itu, Ahmad Lebai Sudin dilihat secara berseorangan mendesak Mukhriz melakukan perubahan pentadbiran dan politik negeri selain menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya yang lalu.

Hanya lebih lapan bulan selepas kontroversi tersebut 14 Ketua UMNO Bahagian tampil menyatakan keperluan melakukan perubahan dalam pimpinan kerajaan negeri dan UMNO negeri.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
Terdapat beberapa pihak cuba mempertikaikan cadangan pelantikan Ahmad Bashah kerana tidak berpendidikan sehingga ke peringkat universiti berbanding calon-calon MB yang lain.

Namun Presiden UMNO dikatakan mengambil kira kekananan (seniority) dan sumbangan Ahmad Bashah dalam pilihan raya lalu sebagai faktor utama pencalonan nama beliau.

Nama Ku Rahman turut dicalonkan memandangkan beliau merupakan seorang Exco kanan dan berkelulusan PhD dan sebagai memenuhi kehendak Istana agar dihantar tiga nama. -myKMU.net