Kuala Pilah - Aktiviti ‘mengoca’ atau menangkap ikan menggunakan tangan amat dinantikan penduduk di negeri ini dan seolah-olah satu kemestian oleh masyarakat setempat terutama selepas musim menuai padi.
Aktiviti menangkap ikan beramai-ramai di lokasi tertentu itu bagaikan pesta apabila penduduk kampung keluar membawa bersama pelbagai peralatan dengan harapan mendapat tangkapan besar.
Namun, aktiviti mengoca di Empangan Bangkung, di sini, bagai hilang seri apabila tangkapan yang diharapkan tidak banyak seperti tahun sebelum ini.
Penduduk, Saodah Lebai Hasan, 70, berkata, seperti kebiasaan, penduduk bersiap sedia menunggu untuk menangkap ikan menggunakan tangan apabila air empangan hendak dilepaskan.
“Kali ini, lebih ramai orang daripada ikan, malah sejak dua jam lalu, saya turun ke empangan ini, tapi hanya dua ikan yang dapat. Ia berbeza berbanding tahun lalu, penduduk mendapat tangkapan yang banyak.
“Saya menyertai aktiviti mengoca sejak 50 tahun lalu bersama ahli keluarga lain dan setiap kali tiba musim menuai padi, aktiviti itu sentiasa kami nantikan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Dianggarkan 200 penduduk berkumpul di Empangan Bangkung itu seawal jam 6.30 pagi.
Saodah yang berasal dari Kampung Terusan, di sini, berkata, mengoca seperti satu kemestian kerana melalui aktiviti itu, semangat kerjasama penduduk terserlah apabila beramai-ramai bermandi lumpur sambil menangkap ikan.
Selain itu, Rohana Alias, 50, berkata, kemungkinan faktor peredaran masa menyebabkan ikan semakin berkurangan, tambahan pula tiada kawalan menangkap ikan yang dilakukan orang ramai.
“Berbanding lima tahun lalu, saya boleh menangkap ikan sehingga lima kilogram, tapi hari ini (semalam), nak dapat satu kilogram ikan pun susah.
“Saya berpendapat, aktiviti ini perlu diteruskan dan menjadi tradisi di Negeri Sembilan dan jika mahu menjadikan aktiviti ini lebih menyeronokkan, perancangan rapi harus dibuat seperti larangan memancing dan menjaring ikan pada hari biasa,” katanya.
Bagi Mohd Hazry Abd Rahman, 24, dari Taman Jemapoh, tuah menyebelahinya apabila menangkap ikan haruan, lampam, talapia dan udang galah seberat tiga kilogram.
“Tetapi, jumlah itu jauh lebih kecil berbanding sebelum ini. Dulu, saya mampu memperolehi tujuh kilogram ikan, tetapi hari ini (semalam) hanya tiga kilogram saja.
“Kawasan ini terbuka menyebabkan ada segelintir penduduk bebas memancing ikan hampir setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Faiz Hassan berkata, Empangan Bangkung berfungsi sebagai kemudahan pengairan di sawah padi daerah berkenaan.
“Selepas musim menuai padi dan sementara menunggu kerja penanaman semula, pintu empangan akan dibuka bagi menggantikan air baru selain membersihkan tebing sungai.
“Penduduk akan mengambil kesempatan menangkap ikan kerana air cetek dan memudahkan mereka menangkap ikan dengan hanya menggunakan peralatan mudah dan tangan,” katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun, katanya, aktiviti itu bukan kelolaan JPS tapi sekadar memberi peluang kepada penduduk kampung menangkap ikan.
Sumber: myMetro