Alhamdulillah, "Ali Setan" Sudah Dibenarkan Keluar Dari Wad Hospital

Pelakon lelaki popular era 1980-an, Mohd. Azmil Mustapha yang sebelum ini dilaporkan tenat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Putrajaya kerana masalah jantung telah dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, bintang yang popular menerusi filem Ali Setan itu difahamkan masih berada dalam keadaan lemah dan memerlukan penjagaan rapi.

Perkara itu dimaklumkan oleh adik bongsunya, Mohd. Aziph Mustapha menerusi laman Facebook.

“Doktor pakar di sini (Hospital Putrajaya) mengesahkan yang abang boleh keluar dan diberi penjagaan rapi di rumah.

“Ubat telah dibekalkan dan jadual rawatan susulan dengan pelbagai doktor telah disiapkan,” kata Mohd Aziph, 48, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia.

Tambahnya, abangnya itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantunya ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Dalam status tersebut, Mohd. Aziph turut memuat naikkan beberapa keping gambar yang menunjukkan Mohd. Azmil berkerusi roda diiringi anggota keluarga ketika meninggalkan Hospital Putrajaya.

12401010_1275135465834965_3415982424496373771_n
12417825_1275135392501639_4536609111180367695_n
12523187_1275135359168309_8566202632908308197_n

Terdahulu, Mohd. Azmil dilaporkan terpaksa menggunakan alat ventilator dan diletakkan dalam keadaan ‘tidur’ di Unit Jagaan Koronari Hospital Putrajaya, Khamis lalu selepas mengadu sesak nafas dan doktor mendapati jantungnya berada dalam keadaan lemah.

Selain filem Ali Setan, Mohd. Azmil, 63,  juga pernah membintangi filem lain antaranya adalah Mekanik, Suara Kekasih dan Driving School. –Kedahnews.com