Anak Allahyarham Nik Aziz Nafi Terlibat Serta Parti Mat Sabu

Nik Omar Nik Abdul Aziz
ALOR SETAR - Anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang kononnya mengatakah dia telah menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) seperti mana yang dilaporkan oleh beberapa portal berita.

Anak kedua Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara  itu, namun  tidak‎ menolak kewujudan kepelbagaian parti, termasuk kehadiran parti Amanah sebagai salah satu parti dalam sistem politik tanah air.

Menurut Nik Omar, dia lebih suka kepada gagasan penyatuan ummah dengan masing-masing membawa pendekatan meraikan satu sama lain.

“Ambo (saya) tidak terlibat, ambo bawa pandangan masing-masing, kena terima kewujudan dan menghormati satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam majlis makan malam Amanah Kelantan di Petaling Jaya semalam, dikatakan bahawa Pengarah Komunikasi Amanah Kelantan, Nordin Hussin‎ telah mengumumkan Nik Omar dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Nik Omar menolak perlantikkan itu dan Pengetua Mahaad Tahfiz Darul Annuar di Pulau Melaka‎ itu menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak terlibat sebagaimana yang didakwa.

Dalam masa yang sama, Nik Omar turut enggan mengulas ketika ditanya dakwaan mengatakan beliau telah menyertai parti itu dengan menggunakan nama samaran.

Nik Omar sebelum ini seringkali dikaitkan dengan Amanah setelah beberapa kali hadir dalam majlis anjuran parti serpihan Pas itu‎ beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu. -Kedahnews.com