Anak Dicekup Curi Motorsikal, Azian Anggap Tersalah Pilih Kawan

Azian Mazwan Sapuwan
Teka-teki anak seorang penyanyi wanita era-80 an yang dilaporkan ditangkap atas cubaan mencuri motosikal di Putrajaya baru-baru ini akhirnya terjawab apabila Azian Mazwan Sapuwan menjelaskan bahawa dia tidak tertekan dengan berita yang tersebar meluas itu.

Pada masa yang sama, Azian yang semakin popular selepas memasuki program realiti Gegar Vaganza 2 berkata, dia berharap perkara ini dijadikan pengajaran buat anak lelakinya yang berusia 16 tahun itu.

“Saya tenang dan tidak tertekan apabila berita mengenai perkara itu dilaporkan dalam media dan saya ambil positif perkara itu.

“Ini adalah akibat daripada kesilapannya sendiri dalam memilih kawan dan berharap ia dapat menjadi pengajaran kepadanya,” katanya.

Keluarga Azian Mazwan Sapuwan
Sementara itu, Azian tidak dapat mengulas lanjut mengenai kes anaknya yang masih berjalan di mahkamah.

“Kes masih berjalan dan belum jatuh hukuman lagi, jadi saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkembangan kes itu.

“Bukan sahaja menjaga nama baik saya tetapi juga diri mereka sendiri. Perkara sudah hendak jadi begitu, saya positif… tambahan pula dia masih belum didapati bersalah oleh mahkamah,” ujarnya seperti yang dipetik dari mStar.

Azian Mazwan Sapuwan ketika zaman remajanya terkenal dengan lantunan lagu "Cinta Embunan Pagi"
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan anak Azian bersama seorang lagi rakannya yang berusia 18 tahun telah dihadapkan ke mahkamah pada akhir bulan Disember lalu.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan perbicaraan berikutnya ditetapkan pada bulan Februari depan. –Kedahnews.com