Maria Bersama Anak-Anak Tirinya |
Selepas pernikahan pelakon jelita, Maria Farida, dengan seorang ‘Dato” pada November lalu mencetuskan kontroversi kerana didakwa merampas suami kawan baik sendiri, kini muncul cerita panas lain mengaitkan aktres itu.
Anak tiri Maria dilaporkan telah tampil dan meluahkan rasa kecewa dengan perubahan sikap bapa mereka, Datuk Rahman Shakur yang dikatakan mula mengabaikan dia dan adik-beradiknya selepas berkahwin lain.
Nur Shazleen Anis, 28, dilaporkan berkata semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja namun perubahan mula ketara selepas perkahwinan bapa mereka dengan Maria di mana hidupnya dan adik-beradik lain mulai terbiar dan kucar-kacir.
“Saya terkilan dengan papa yang langsung tidak menjenguk ketika saya dimasukkan ke hospital kerana denggi.
“Ketika di hospital, saya mula nampak belang Maria dan dari situ, saya mula sedar kami akan ditendang dan perlu mencari hidup sendiri.
“Banyak perkara yang dipertikaikannya dan ia sangat menyakitkan hati. Maria menghancurkan kebahagiaan keluarga kami,” katanya.
Selain Wan Nathasha yang berusia 22 tahun, Shazleen mempunyai adik-adik yang masih remaja dan perlukan kasih sayang: Damia Caldia, 16, Cahaya Nilam, 14, Aishyea Rahman, 10 serta Qalif Ryan, 6.
Shazleen turut mengaku bahawa dia sebelum ini telah termakan hasutan untuk memburukkan ibunya, Karen Rahman melalui laman sosial dan dipaksa membuat kenyataan negatif dalam sebuah program hiburan.
“Saya terkesan sangat kerana dulu, saya pernah memburukkan dan membuangnya tetapi kini mummy (Karen) yang sentiasa mengambil berat. Saya buang mummy dulu kerana terpengaruh dengan cerita hasutan,” katanya. -Kedahnews.com