Ancaman Pengganas: Dalam Bahaya, "Penjual Nasi" Pesan Jangan Ambil Mudah

Syahril (berdiri berbaju hitam) di Food Truck beliau ketika dikunjungi bekas "boss" dan mentornya, Datuk Zaini Hassan
Setelah Jakarta digemparkan dengan insiden serangan bom enam serangkai baru-baru ini, ia telah menimbulkan kebimbangan terhadap negara-negara serantau tentang kemungkinan berlaku serangan yang sama dari puak militan DAESH.

Sehubungan itu, dilaporkan bahawa semua negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia telah melipat gandakan usaha mencegah dan memperketatkan kawalan di pintu-pintu masuk serta di seluruh sempadan negara.

Kebimbangan tersebut bukan saja dirasai oleh pihak berkuasa dan kerajaan rantau ini, malah turut dikongsi bersama seorang peniaga nasi bukhara terkenal di ibu negara, Syahril A Kadir.

Bekas wartawan jenayah berpengalaman luas itu menyuarakan kebimbangan beliau terhadap serangan pengganas itu di laman Facebooknya dan memberi amaran supaya semua pihak tidak mengambil mudah tentang ancaman tersebut.

Berikut adalah tulisan bekas Pegawai Khas Menteri itu yang kini lebih selesa dengan status 'penjual nasi' di laman Facebooknya; -Kedahnews.com
ANCAMAN TERRORIST: KITA DALAM BAHAYA, JANGAN AMBIL MUDAH

"Yup. Aku seorang penjual nasi. Tetapi pengalaman menulis dan membuat liputan mengenai kegiatan dan aktiviti pengganas khususnya ketika kemunculan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) kira-kira 15 tahun dulu, pengalaman menemui sendiri individu yang terlibat secara langsung dalam aktiviti ini, pengalaman menjejak dan menemubual tokoh yang dikaitkan dengan aktiviti teroris di Indonesia etc membuatkan aku yakin dan percaya - KITA MAKIN DALAM KEADAAN BAHAYA!

Bersyukurlah kerana agensi perisikan kita baik ATM dan PDRM khususnya Bahagian E8 telah menjalankan risikan dan operasi dengan begitu cemerlang sehingga setakat ini belum ada kejadian buruk yang menimpa negara. Namun esok lusa belum tentu. Ingat, walaupun belum ada peristiwa pengeboman dan keganasan yang meletus di sini, namun sejarah hitam Malaysia tetap ada. Siapa tak kenal beberapa tokoh militan Asia Tenggara, asalnya dari mana? MALAYSIA. Kesemuanya telah mati akibat ditembak anggota pasukan keselamatan Indonesia dan Filipina namun percayalah - semangat mereka masih membara di kalangan pengikutnya.

Itu zaman KMM dan JI. Dan kini musim IS pula. Yang pasti, jika masa KMM dan JI mengganas dulupun kita dalam bahaya, apatah lagi sekarang! Kena ingat, ketika KMM dan JI dulu, tugas polis tidak sesukar sekarang. Dulu pengganas ini mempunyai struktur...ada ketua...ada orang kanan...polis hanya perlu tangkap orang di atas, lepas tu kerja polis makin senang kerana CONFIRM dapat buru orang bawahan pula hingga ke lubang cacing.

Tapi IS ni lain...mereka bergerak bersendirian...mereka bergerak berasingan...lebih rumit lagi mereka menggunakan medium seperti FB, wechat...telegram...malah nak buat bom pun tak payah pergi sampai Afghanistan, dalam Youtube pun mereka dah boleh belajar!

Dulu zaman KMM dan JI, yang masuk kumpulan itu adalah mereka yang belajar dari pondok-pondok, golongan profesional yang ingin mendalami agama...tetapi dalam IS ni, semua golongan dan semua peringkat serta semua latarbelakang ada! Lebih merunsingkan, ramai yang asalnya hendak berjihad dengan hasrat untuk membebaskan rakyat Syria daripada kezaliman rejim Assad - tetapi bila dah sampai sana, ada di antara mereka yang TERPERANGKAP dengan tipu daya IS. Nak balik dah tak boleh, nak patah balik dah sangkut!

Paling 'menarik', yang disibukkan bukan nak melawan Assad, bukan nak melawan Israel, tapi sibuk nak bom Paris, sibuk nak bom Jakarta, sibuk nak bom tempat-tempat lain pula. Matlamat nak berjihad makin lama makin lari dan lintang pukang jadinya!

Akhirnya mereka secara tak langsung terpaksa hidup dalam IS, mengamalkan ideologi IS, bercampur dan makan minum dengan IS sehinggalah akhirnya menjadi ahli IS secara rasmi. Bayangkan bila mereka kembali ke tanah air...dan jumlah mereka bukan sedikit. Inilah ancaman yang ramai daripada kita tidak tahu. Kita cepat emosi. Kita cepat menuduh PDRM kejam. Akhirnya bila berlaku serangan demi serangan seperti yang terbaru di Jakarta, pandai pulak kita bimbang kot-kot berlaku pula di Malaysia? Masa ni tahu pulak takut!

Allah dah bagi kita petunjuk dan tanda-tanda...Allah suruh kita berfikir....terpulanglah. Tepuk dada tanya selera. Tak percaya tak apa. Saya hanya penjual nasi."