Arab Saudi VS Iran: Pertembungan Antara Fahaman Sunni Dan Syi'ah?


MEMANG benar bahawa pertembungan terkini antara Arab Saudi dan Iran itu ada kena-mengena dengan konflik antara fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) dan Syiah yang telah berlarutan sejak beribu tahun lepas.

Hakikatnya adalah faktor perbezaan tersebut hanya memainkan peranan yang kecil sahaja tetapi sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu yang ingin mengaut manfaat daripada kemelut ini.

Pertembungan di antara dua negara ini telah lama berlaku tetapi dilaksanakan secara proksi dan bukannya secara langsung. Um­pamanya apabila Arab Saudi me­lancarkan serangan ke atas Yemen pada tahun lepas tujuannya adalah untuk mengekang pengaruh Iran yang banyak membantu kumpulan pemberontak Houthi.

Begitu juga campur tangan Arab Saudi di negara bergolak Syria, Iraq dan juga Lebanon semuanya ada kena-mengena dengan kehadiran pengaruh Iran.

Sebab itu juga apabila Arab Saudi menentang perjanjian pembangunan nuklear Iran dengan enam kuasa besar dunia (P5+1), tentangan tersebut tiada kena-mengena dengan perbezaan fahaman amalan agama Islam tetapi Riyadh khuatir Iran akan menjadi bertambah kuat apabila sekatan ekonomi dikendurkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Apa jua perkara yang melibatkan pertembungan Arab Saudi dan Iran akan pasti ada pihak yang memperbesarkan isu pertembungan fahaman Sunni dan Syiah kerana strategi tersebut adalah paling efektif untuk melindungi kewujudan agenda campur tangan pihak ketiga.

Israel umpamanya sudah banyak kali berselindung di sebalik strategi pertembungan Sunni dan Syiah demi melangsungkan kepentingan geopolitik rejim Zionis.

Iran dianggap Israel sebagai musuh utama mereka dan lazimnya AS dipergunakan sebagai proksi dan sering juga negara Arab diperalatkan demi untuk menekan Iran.

Apabila negara ketiga mempergunakan pertembungan Sunni dan Syiah sebagai pemangkin strategi geopolitik mereka, negara Islam sepatutnya tidak terperangkap dalam permainan bahaya ini.


Sebab itu, pertelingkahan antara Arab Saudi dan Iran perlu dielak daripada menjurus kepada persengketaan perbezaan fahaman amalan agama tetapi begitu sedih sekali kini telah berlaku dua kumpulan negara Islam yang berasaskan pengamalan sama ada Sunni atau Syiah.

Apabila Bahrain, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Sudan dan Kuwait membuat keputusan untuk bersama-sama dengan Arab Saudi berhadapan dengan Iran, senario tersebut memberi persepsi bahawa penilaian dibuat berdasarkan solidariti negara Islam fahaman Sunni.

Begitu juga apabila Arab Saudi menubuhkan gugusan 34 negara Islam untuk memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS), sekali lagi timbul sangkaan gugusan tersebut hanya terdiri daripada negara Islam yang mengamalkan fahaman Sunni.

Kesatuan antara negara Islam adalah satu perkara yang baik demi mempertahankan kepentingan agama Islam tetapi apabila penyatuan tersebut berasaskan sama ada fahaman Sunni atau Syiah, keadaan sebegini mudah dipergunakan dan diperalatkan oleh pihak ketiga.

Kekecohan dan tidak stabilnya kebanyakan negara Islam di Asia Barat terutama sekali yang melanda Syria, Iraq dan Libya sedikit sebanyak berpunca daripada pertembungan antara pengikut Sunni dan Syiah.

Memang benar juga ulama Syi­ah Sheikh Nimr al-Nimr yang dijatuhkan hukuman mati oleh pihak berkuasa Arab Saudi adalah pencetus utama kepada konflik terkini antara dua negara Islam ini tetapi hakikatnya majoriti 46 pesalah lain yang juga dijatuhkan hukuman mati adalah terdiri daripada pengikut kumpulan militan Al-Qaeda yang mengamalkan fahaman Sunnah.


Tetapi apabila dipergunakan dan diperbesarkan faktor ulama Syiah Sheikh Nimr maka begitu mudah perbezaan fahaman Sunnah dan Syiah diperalatkan oleh sesetengah pihak.

Sebab itu kritikal bagi rakyat Malaysia menilai senario konflik di antara dua kuasa besar Islam melalui sudut geopolitik dan bukannya dipengaruhi oleh sentimen perbezaan fahaman amalan agama kerana jika terlalu taksub dengan persepsi sedemikian maka suasana tidak tenteram di kebanyakan negara Asia Barat boleh juga melanda Malaysia.

Arab Saudi tidak syak lagi sedang melaksanakan strategi bagi mengukuhkan pengaruh Riyadh terutama sekali di rantau Asia Barat dan mengambil pendekatan untuk berdepan dengan seteru utama mereka iaitu Iran secara proksi.

Tetapi paling menarik adalah Arab Saudi yang selama ini ditafsirkan mempunyai rakan kuasa besar iaitu AS sebagai sekutu kuat, tetapi sejak kebelakangan ini sudah mula berani membuat keputusan menongkah arus kehendak Washington.

Bermula dengan keputusan untuk menyerang Yemen, membantah perjanjian nuklear Iran bersama P5+1, penubuhan gugusan 34 negara Islam menentang IS dan terkini memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran, kesemua perkara tersebut dilaksanakan oleh Riyadh tanpa mengambil kira pandangan Washington.

Faktor geopolitik sebenarnya adalah pencetus utama terhadap kemelut Arab Saudi-Iran kerana kedua-dua negara ini cuba memperluaskan pengaruh masing-masing di Timur Tengah.

Empat negara Islam iaitu Bahrain, Sudan, UAE dan Kuwait sudah membuat keputusan untuk bersama dengan Arab Saudi sementara negara Islam lainnya belum ada petanda yang menjurus kepada arah yang sama.


Adalah senario yang tidak baik apabila negara Islam berpuak-puak dan begitu jelas sekali kemelut Arab Saudi dan Iran telah dijadikan asas oleh pihak tertentu untuk memecahkan perpaduan negara Islam.

Tidak mengejutkan jika Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) membuat keputusan untuk menyokong Arab Saudi tetapi harapannya adalah negara Islam lain tidak membuat keputusan untuk menyebelahi antara dua pihak yang bertelagah kerana yang bakal meraih manfaat adalah pihak yang tidak mahu menyaksikan negara Islam bersatu.

*Azmi Hassan, PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM/Utusan