Shahrudin (dua, kanan) menunjukkan kopi palsu. |
ALOR SETAR - Orang awam dinasihatkan berhati-hati ketika membeli Kopi Jantan Tradisional agar tidak terbeli kopi palsu yang didakwa mampu memudaratkan peminumnya.
Bagaimanapun, kopi palsu berkenaan dikenal pasti ‘beracun’ memandangkan ia didakwa mengandungi kadar racun tinggi sehingga memberi implikasi sakit jantung.
Melalui aduan dan risikan selama seminggu, anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya mengesan lokasi penjualan kopi palsu itu.
Susulan itu, menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Kedah, Shahrudin Hamzah, satu serbuan serentak dilakukan di enam premis bermula 11 pagi, semalam.
“Empat premis di Sungai Petani, manakala selebihnya di Alor Setar dikenal pasti melakukan penjualan kopi disyaki palsu.
“Oleh demikian, kita merampas dan menyita kira-kira 606 paket kopi disyaki palsu bernilai RM1,300 dalam pemeriksaan ini,” katanya.
Menurutnya, pertubuhan terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000, manakala individu tidak melebihi RM10,000 bagi setiap unit barangan jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, katanya, siasatan masih dijalankan mereka dalam usaha mengesan pengilang dan pengedar kopi palsu melalui bantuan pengadu dan maklumat orang ramai.
Bagaimanapun, Shahrudin berkata, kandungan kopi jantan tradisional keluaran YongFatt Vision Trading, adalah asli dan menepati piawaian ditetapkan serta boleh diminum orang awam.
Sementara itu, Pengarah Urusan YongFatt Vision Trading, Ong Chin Soon berkata, pihaknya mendapati kira-kira 90 peratus kopi menggunakan jenama mereka di pasaran adalah palsu.
Menurutnya, ada pihak tidak bertanggungjawab didakwa sanggup menggunakan nama, jenama dan hak cipta Kopi Jantan Tradisional keluaran syarikatnya untuk menghasilkan produk palsu.
Disebabkan itu, katanya, dia bimbang kesihatan mana-mana individu minum kopi palsu hasil ciplak produk syarikatnya terjejas, ekoran kandungan tidak diketahui.
“Malah, masih ada peniaga berdegil menjual kopi palsu, meskipun sudah dinasihatkan kandungan kopi palsu berbahaya semata-mata demi mengaut keuntungan lebih 40 peratus
"Ada peniaga tidak mempedulikan kesan kepada pengguna, memandangkan sepaket kopi palsu murah 60 sen, iaitu berharga RM1.50 berbanding RM2.10 bagi yang asli," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, orang awam masih boleh membezakan antara kopi asli dengan palsu, melalui rasanya kerana produk keluaran syarikatnya adalah lebih pahit.
Katanya, kes itu diserahkan kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut bagi membela nasib dan kerugian ditanggung lebih RM2 juta sejak dua tahun lepas disebabkan isu itu.
Sumber: Sinar Harian