KUALA LUMPUR – Dendangan Lagu Negaraku dalam setiap aksi Liga Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV Stadium di Kota Bharu, Kelantan pada musim ini tidak lagi menggunakan rakaman audio sebaliknya akan dinyanyikan oleh tetamu khas.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, kaedah nyanyian lagu kebangsaan yang banyak diamalkan di stadium luar negara itu antara pembaharuan oleh KAFA dalam menyemarakkan lagi bola sepak Kelantan tahun ini.
“Penganjuran perlawanan di Stadium Kota Bahru bakal berubah. Penjualan tiket secara dalam talian dan bermusim. Penglibatan lebih ramai atlet, budayawan, tokoh serta ruang dan jemputan khas untuk anak yatim, OKU, individu berjasa.
“Azan di kumandang secara langsung dari stadium. Negaraku mungkin di ketuai secara ‘live’,oleh “tamu Khas KAFA” dan beberapa pendekatan baru lain,” katanya dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Sultan Mohammad IV Stadium bakal berubah wajah selepas kerajaan Kelantan membenarkan warna stadium itu diubah kepada merah jambu.
Ia antara syarat 33 syarat yang dikenakan Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan. –Kedahnews.com