Azmin Lantik 8 Ahli PBT Amanah, PAS Selangor Ucap "Terima Kasih"

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman
ALOR SETAR - PAS Selangor mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali kerana melantik 8 ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari kalangan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) tanpa melibatkan pengurangan kerusi PBT milik PAS.

Walau bagaimanapun, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menegaskan bahawa PAS tidak sesekali akan mengiktiraf kelapan-lapan ahli PBT Amanah yang dilantik Menteri Besar tersebut.

"Walaupun PAS tidak mengiktiraf Amanah dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mereka, namun kami memahami dilema yang dihadapi Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.

"Tetapi ini sama sekali tidak mengubah pendirian kami terhadap Amanah yang telah mengkhianati PAS dan sentiasa menyerang PAS.

"Sehubungan itu kami mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana bilangan ahli majlis dikalangan PAS juga tidak berkurangan walaupun diasak oleh Amanah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah mengumumkan keputusan mesyuarat exco yang dipengerusikan Azmin mengenai persetujuan untuk memperuntukkan lapan kerusi kepada wakil Amanah.

Bekas "boss" kepada mendiang Teoh Beng Hock itu menjelaskan bahawa lapan kerusi yang diperuntukkan bagi tempoh dua tahun itu bermula pada 15 Januari 2016 dan berakhir pada 31 Disember 2017.

Ia membabitkan kerusi di majlis perbandaran daerah Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. -Kedahnews.com