Belum Kahwin, Tapi Sudah Lebam Mata Dipukul Akibat Cemburu Di Facebook

Gambar Hiasan
GEORGETOWN – Seorang wanita berusia 28 tahun mengalami lebam di mata akibat dipukul teman lelakinya yang cemburu selepas seorang lelaki lain memuji kecantikan mangsa menerusi laman sosial Facebook, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa pergi ke rumah teman lelakinya di Taman Pisang Awak, Kampung Melayu di sini sebelum pertengkaran berlaku antara mereka.

“Teman lelaki mangsa berusia 52 tahun bertindak menyepak, menampar dan menumbuk mangsa serta memukul menggunakan hulu kapak sehingga menyebabkan mangsa mengalami bengkak di mata kanan, lebam di tangan dan sakit seluruh badan.

“Lelaki itu kemudiannya menghalau mangsa dari rumahnya sebelum wanita yang berasal dari Taman Tun Sardon, Gelugor itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Berdasarkan siasatan, beliau berkata kejadian berlaku selepas teman lelaki mangsa cemburu dengan pujian lelaki lain kepada mangsa dan menyangka mangsa mempunyai teman lelaki lain.

Mior Faridalatarash berkata mangsa menafikan perkara itu namun teman lelakinya tidak mempercayainya malah terus bertindak memukul mangsa.

“Difahamkan pasangan itu tinggal bersama sejak dua tahun lepas dan mempunyai seorang anak perempuan berusia empat bulan. Bagaimanapun mereka tidak mendaftarkan perkahwinan,” katanya.

Katanya lelaki itu dipercayai melarikan diri sebaik mengetahui mangsa membuat laporan polis dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah lain.

“Kes itu akan siasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA