SELEPAS isu nasi lemak telanjang pernah dibangkitkan selebriti terkenal Chef Wan pada 2014, kali ini Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhadapan dengan kritikan ke atas mutu salah satu hidangan mereka, mihun goreng.
Ia menjadi sensasi di media sosial tempatan apabila seorang netizen memuat naik gambar bihun goreng yang disifatkan sebagai ‘telanjang’ dan komen ‘pedas’ menerusi akaun Twitter dirinya, @faizalhamssin baru-baru ini.
Menurut pengguna itu, mihun tersebut dihidangkan ketika dia dan rakan-rakannya dalam penerbangan MH731 dari Bandar Seri Begawan, Brunei ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu.
Gambar mihun yang disifatkan Faizal sebagai ‘lebih telanjang’ berbanding bihun goreng biasa yang dijual di kantin sekolah rendah ini telah mengundang pelbagai reaksi kicauan sama ada positif dan negatif daripada ramai netizen.
Insiden ini dikatakan mirip perisitiwa ‘nasi lemak telanjang’ yang pernah ditimbulkan Chef Wan pada 29 Januari 2014 apabila mengeluh mengenai sarapan pagi tersebut ketika beliau dalam penerbangan ke Bangkok, Thailand.
Kali ini, respon netizen yang disiarkan portal stesen penyiaran Astro Awani pada 1 Januari juga tidak berubah. Rata-rata mereka meluahkan perasaan kecewa terhadap mutu hidangan yang kurang dititikberatkan syarikat itu.
Ada juga beberapa pengguna Twitter yang disiarkan Astro Awani sempat lagi berkicau memuat naik foto hidangan dari beberapa syarikat penerbangan lain sebagai perbandingan dengan senario menu di MAB sendiri.
Namun, ada juga sebilangan netizen lain yang tidak menyelar semata-mata, sebaliknya berkongsi rasa simpati dan memahami kedudukan MAB yang kini sedang menjalankan proses penstrukturan semula sejak tahun lalu.
Mereka menyifatkan hidangan ringkas dalam pesawat MAB itu sebagai langkah penjimatan sejajar dengan tindakan pemulihan kedudukan kewangan di bawah kendalian Ketua Pengawai Eksekutif, Christoph Mueller.
Dalam pada itu, pihak MAB membalas semua kicauan Faizal melalui akaun Twitter rasmi @MAS dengan menyatakan kekesalan terhadap insiden itu serta kesediaan menerima sebarang maklum balas. – Agensi