PELAJAR tingkatan satu yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori pasir ketika pulang dari sekolah pada Isnin lalu, bakal menerima sumbangan sepasang kaki palsu daripada Biro Kebajikan UMNO.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor, pagi Rabu.
“Kaki palsu ini akan diberikan kepada Siti Nuraisyah selepas dia sembuh dan kita juga akan terus memantau keadaannya,” kata beliau lagi.
Menurut Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Siti Nuraisyah dan kedua ibu bapanya juga bakal menerima tajaan menunaikan umrah.
Selain itu, Abdul Azeez turut menyampaikan amanah dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bermurah hati menghulurkan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 kepada mangsa.
Terdahulu, media tempatan melaporkan kedua-dua kaki Siti Nuraisyah putus setelah digilis oleh sebuah lori dari arah bertentangan selepas dia terjatuh dari motosikal.
Sebelum itu, motosikal diboncengnya terbabas akibat digesel sebuah kereta Kancil yang cuba memotong motosikal ditunggangi kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14.
Dua beradik tiri itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap menuju ke rumah mereka di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor.
Kejadian yang berlaku petang Isnin ini menimbulkan simpati seluruh masyarakat Malaysia apabila gambar mangsa dalam keadaan terduduk atas jalan raya selepas kemalangan menjadi viral di media sosial. – Kedahnews.com