Blogger Tauke Kafe Siber Bercita-cita Mahu Jadi Ketua DAESH Serantau

Muhammad Bahrun Naim Anggit
JAKARTA – Tujuh tahun lalu, Muhammad Bahrun Naim Anggit pernah mengendalikan sebuah kafe internet di Solo, sebuah bandar kecil yang kini dinamakan sebagai Surakarta di wilayah Jawa Tengah, Indonesia.

Namun pada 14 Januari, Bahrun dikenal pasti oleh pasukan polis republik tersebut sebagai dalang di sebalik serangan maut di pusat bandar Jakarta yang mengorbankan dua orang awam dan lima pengganas.

Daesh atau juga disebut sebagai IS mengaku bertanggungjawab atas serangan itu yang dirancang oleh Bahrun langsung dari Raqqa, yang merupakan kubu kuat kumpulan militan antarabangsa tersebut di Syria.

Menerusi catatan dalam blognya, Bahrun digambarkan sebagai seorang ‘wartawan bebas’ yang menumpukan perhatian kepada hal ehwal agama, dengan pengkhususan terjadap isu politik, strategi dan risikan.

Bahrun juga dilaporkan pernah bekerja sebagai seorang juruteknik komputer. Menurut catatan di blog yang sama, dia dilahirkan pada tahun 1983 dan dipercayai berasal dari Pekalongan di wilayah Jawa Tengah.

Sebelum ini, dia pernah ditangkap oleh pihak polis Indonesia pada tahun 2011 kerana didapati memiliki senjata api secara haram dan dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah tempatan selama tiga tahun.

Menurut polis lagi, sejak itu dia dikesan muncul sebagai anggota kanan kumpulan militan pengganas di Solo dan serata pulau Jawa malah setahun lalu, Bahrun berjaya pergi ke Syria untuk menyertai Daesh.

Polis mempercayai bahawa dia terlibat dalam mendalangi serangan nekad yang dilancarkan lewat pagi Khamis iaitu serangan pertama Daesh di bumi Indonesia, negara yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam.

Indonesia juga menjadi sasaran Daesh bagi menubuhkan kubu kuat mereka di benua Asia setelah serangan maut berselaras yang dilancarkan di beberapa lokasi di Paris, Perancis pada bulan November tahun lalu.


Bahrun pernah memuat naik catatan di blognya, menjelaskan kepada para pengikutnya betapa mudahnya untuk mengubah taktik dari “jihad” kepada “perang gerila” dalam sebuah bandar raya seperti Jakarta.

Pada 24 November lalu, agensi berita antarabangsa Reuters berjaya menghubungi Bahrun melalui aplikasi Telegram, dengan menggunakan maklumat rahsia yang diberikan oleh salah seorang kenalannya.

Melalui khidmat penghantaran mesej tersebut, dia yakin ada mengatakan terdapat begitu ramai penyokong Daesh bersiap siaga bagi “melancarkan serangan” secara mengejut di seluruh Indonesia.

“Hanya tunggu masa yang tepat,” kata Bahrun yang tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komennya semalam. Pegawai antipengganas percaya ada 1,000 penyokong kumpulan Daesh di merata Indonesia.

Memetik Reuters,  pakar risikan menjelaskan bahawa tidak lama selepas dihubungi melalui Telegram, para pegawai mula mendapat tanda-tanda melalui sudut-sudut sembang secara online bahawa Indonesia akan diserang pada bila-bila masa sahaja.

Namun  melalui pemantauan polis, puluhan lelaki yang disyaki merancang untuk melancarkan serangan pada cuti Hari Krismas 2015 dan Tahun Baharu 2016 berjaya diberkas di merata tempat di pulau Jawa.

Bahan-bahan pembuatan bom dan jaket pengebom berani mati malah buku panduan manual serangan nekad bunuh diri dijumpai sewaktu serbuan dilakukan pihak polis antipengganas Indonesia.

Menurut polis, sebahagian daripada mereka yang diberkas itu pernah menerima dana dan sokongan daripada Bahrun, yang mempercayai bahawa Indonesia perlu ditadbir mengikut fahaman keras ala Daesh.


Bahrun sudah lama rancang melancarkan serangan ke atas ibu kota Jakarta, menurut Ketua Polis Metro Jaya, Tito Karvanian dengan menambah bahawa Bahrun memang bercita-cita menjadi ‘ketua Daesh’ di Asia Tenggara.

Bagaimanapun menurut Sidney Jones, seorang pakar mengenai pengganas yang berpangkalan di Jakarta, di Institut Analisis Dasar Konflik, kemungkinan Indonesia diserang pada skala sebesar serangan di Paris adalah tipis.

Namun beliau memberi amaran bahawa ancaman serangan ke atas negara itu makin meningkat dan menekankan bahawa di dalam satu catatan blog Bahrun yang bertajuk “Pengajaran boleh ditimba dari serangan di Paris”.

Bahrun menggesa para pembaca fanatik blognya di Indonesia supaya meneliti perancangan, sasaran, masa, penyelarasan, keselamatan dan keberanian anggota militan Daesh berjuang di ibu kota Perancis itu.

Oleh itu, para pakar berkata jumlah kematian yang kecil dalam serangan di Jakarta itu menunjukkan anggota militan Daesh di Indonesia sebenarnya yang kurang kelengkapan senjata dan latihan belum mencukupi.

Melalui pertukaran Telegram dengan Reuters, Bahrun pernah menceritakan tentang perkara biasa, menjelaskan bahawa dia sedang menikmati kehidupan selesa di Syria dan tidak merancang untuk pulang ke Indonesia.

“Saya berpindah-randah, bergantung arahan daripada ketua kami. Di Syria semua baik sahaja. Ada elektrik, rumah, air dan semua percuma. Khidmat disediakan bagus, murah berbanding di Indonesia,” kata Bahrun. -Kedahnews.com