"Cabar" Kenyataan Wan Azizah, PAS Umum Letak Lebih 10 Calon Di #PRNSarawak


GOMBAK - Pas akan meletakkan calon lebih daripada 10 kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangkakan diadakan pada bulan Mac ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata untuk itu, Pas sudah bersiap sedia bila-bila masa sahaja untuk bertanding di PRN Sarawak.

"Pilihan raya Sarawak ini kita dalam kesiapsagaan dan kita akan bertanding lebih daripada kerusi yang kita bertanding pada PRN Sarawak lepas.

"Akan  bertambah mungkin lebih sekali ganda, dulu kita bertanding lima kerusi dan kali ini mungkin akan bertambah lebih daripada itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di‎ Taman Melewar bersempena mesyuarat khas Pas di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad  (Kuizm) di Gombak semalam.

Sementara itu, menurut Pengarah Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki ketika menyentuh mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah yang mengatakan bahawa Pas 'mungkin disisihkan' dalam PRN Sarawak kerana kurang mendapat sambutan dinegeri itu, Mohd Zuhdi berkata Pas 'hanya tunggu dan lihat' mengenai kenyataan itu.

"Itu di antara yang kita lihat perkembangan PKR, kita masih ada dua hubungan tetapi kalau PKR terus menikam belakang kita, kita akan melihat perkembangan itu seterusnya bagaimana," katanya.