Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa |
ALOR SETAR - Persetujuan majoriti dicapai dalam Umno Kedah secara kolektif apabila mahu Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dicalonkan sebagai Menteri Besar Kedah, menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Alor Setar, Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa berkata, selaku ‘orang lama’ dalam parti, Ahmad Bashah memiliki kelebihan selain hubungan baik dengan pimpinan Pusat, malah bergelar wakil rakyat sejak beberapa penggal.
“Bukankah itu suatu kelebihan. Saya yakin beliau mampu memberikan hasil terbaik,” katanya.
Menurutnya, perlu ada perancangan berdasarkan kapasiti kemampuan yang ada supaya rakyat yakin dengan kepimpinan Umno Kedah.
“Hubungan baik membolehkan penumpuan diberikan dalam membantu isu rakyat yang dihimpit pelbagai masalah termasuk kenaikan harga barang. Jangan pula kita melebarkan krisis parti kerana mungkin membawa kepada polemik lebih besar,” katanya ketika diminta mengulas kemungkinan ada calon lain selain Ahmad Bashah bagi menggantikan Mukhriz.
Mengulas sama ada Ahmad Bashah yang juga calon menteri besar pada PRU13 lalu sebelum berlaku pertukaran di saat akhir, digantikan dengan Mukhriz, masih relevan memikul amanah itu, Syed Abdul Hafiz berkata, isu relevan tidak timbul kerana selaku wakil rakyat paling lama berkhidmat (PRU 1999, 2004, 2008, 2013), beliau lebih mengenali hati budi pemimpin politik di Kedah.
“Beliau amat dihormati kalangan pimpinan Umno. Beliau dilantik sebagai jurucakap kumpulan yang tidak menyokong kepimpinan Mukhriz bukan sahaja disebabkan kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, sebaliknya penghormatan sebagai orang lama yang sudah lalui asam garam politik Kedah,” katanya.
Menurutnya, kekuatan Umno adalah kesetiaan kepada parti, dalam konteks politik Kedah, kemenangan BN bukan bergantung kepada kemenangan individu.
“Kemenangan PRU13 melibatkan seluruh jentera komponen parti, bukan individu. Pelantikan Menteri Besar ketika itu tidak boleh dipertikai mana-mana pemimpin. Ahmad Bashah sendiri menghormati keputusan Presiden ketika itu,” katanya.
Syed Abdul Hafiz berkata, tidak wajar mengheret rakyat yang berkuasa memilih wakil rakyat dalam kemelut ini.
“Rakyat telah memilih wakil mereka, sudah tentu wakil mereka juga tahu permasalahan dalam menunaikan tanggung jawab di kawasan. Isu ini boleh dihentikan lebih awal jika kita faham tentang organisasi. Kita dilantik oleh Presiden dengan restu ALLAH SWT,” katanya.
Oleh itu, tidak perlulah himpunan rakyat dibudayakan dalam Umno demi kepentingan individu tertentu.
Sumber: Sinar Harian