KUALA LUMPUR - Pelakon Rozita Che Wan berkata dia akan mempertahankan anak-anaknya Ammar Effendy, 20, dan Aniq Ezzra, 18, jika ada pihak cuba memberi komen buruk terhadap mereka.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 43, berkata, sebagai seorang ibu, dia berasa tidak senang dengan komen-komen negatif golongan netizen lebih-lebih lagi jika anak-anaknya tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Saya memang seorang ibu yang tegas dalam mendidik anak-anak.
"Melihat entah siapa-siapa memburukkan mereka, sebagai ibu saya akan balas balik komen tersebut dengan kata-kata pedas. Saya tak faham, ada saja tidak kena di mata golongan (netizen) ini," katanya kepada mStar Online pada Rabu.
Che Ta ditemui pada majlis pelancaran program bual bicara Teh Tarik Che Ta, di Angkasapuri, di sini pada Rabu.
Dia diminta mengulas mengenai beberapa komennya yang mempertahankan Ammar dan Aniq setiap kali dikritik netizen.
Terbaharu, dua anak Che Ta itu dikritik selepas mereka memuat naik gambar-gambar ketika membeli belah di kota raya London semasa bercuti kononnya mahu menunjuk-nunjuk.
Dalam pada itu Che Ta berkata, kunjungannya ke London baru-baru ini membuka keinginannya untuk membeli hartanah iaitu sebuah pangsapuri yang terletak di Knightsbridge.
"Ia masih lagi dalam perancangan. Mungkin dalam tempoh setahun ini saya akan membeli pangsapuri tersebut. Saya memang mencari pangsapuri di kawasan Knightsbridge kerana melihat potensi lokasi itu memang bagus.
"Bukannya nak menetap di sana pun. Ia akan disewakan selain boleh menjadi tempat persinggahan saya dan keluarga apabila bercuti di sana nanti," katanya.
Mengenai program Teh Tarik Che Ta, dia ditugaskan sebagai hos untuk menemubual selebriti yang mula mengukir nama sekitar tahun 50-an sehingga 80-an.
Dia juga akan mengimbau kenangan-kenangan manis seniman dan seniwati tanah air untuk dikongsi dengan peminat.
"Dalam program itu saya akan membancuh teh tarik untuk dihidangkan kepada tetamu jemputan saya.
"Kemudian saya akan mengimbau kenangan selebriti itu untuk dikongsikan kepada penonton. Seronok juga korek rahsia artis-artis ini," ujarnya.
Che Ta dalam program Teh Tarik Che Ta |
Teh Tarik Che Ta akan bersiaran bermula 17 Januari ini, setiap Ahad, pukul 12.30 tengah hari di TV1.
Sumber: mStar