Cheng Hoe Akui "Pening Kepala" Fikirkan Skuad Helang Merah

Shafiq Ahmad antara pemain muda Kedah yang dipanggil untuk pemilihan skuad Sukan Sea 2017.
Pengendali pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe mengakui "pening kepala" apabila seramai enam pemain utamanya "dikebas" Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menjalani sesi pemilihan pemain untuk pasukan negara pada Sukan Sea 2017.

Menurut bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan itu, kehilangan enam pemain muda yang menjadi harapan pasukan Helang Merah telah merencatkan persediaan yang dibuat untuk mengharungi Liga Malaysia musim ini.

"Bukan seorang atau dua tetapi enam pemain utama telah dipanggil. Ketiadaan mereka memang dirasai ketika menjalani latihan. Tetapi demi masa depan bola sepak negara saya perlu lepaskan.

"Enam pemain ini akan terlibat dalam sesi latihan dan pemilihan oleh Ketua Jurulatih skuad Sukan Sea 2017 iaitu Frank Bernhardt. Jika dilihat dari segi pengalaman dan latihan ia memang menguntungkan pasukan Kedah, mereka diberi pendedahan meluas.

"Setakat ini FAM belum membuat keputusan sama ada pemain terpilih dibenarkan pulang untuk mewakili negeri atau tidak," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Cheng Hoe, enam pemain tersebut ialah Syafiq Ahmad, Farhan Roslan, Syazwan Abdullah (penjaga gol), Arif Farhan, Amirul Hisham dan Raphi Abdullah Mariappan.

"Kalau enam pemain ini kekal bersama skuad Sukan Sea 2017, saya terpaksa mencari pengganti secepat mungkin.

"Bukan mudah untuk saya dapatkan pengganti bagi enam pemain utama ini khususnya Syafiq, Farhan dan Syazwan yang sudah beraksi bersama kesebelasan utama utama Kedah sejak beberapa tahun lalu.

"Kekurangan itu juga tidak bermakna pemain yang ada boleh berasa selesa, sebaliknya mereka perlu bersaing untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama.

"Pemain lama atau yang baru seperti Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Azmeer Yusof dan juga lima pemain muda perlu bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama," katanya mengeluh menghadapi masalah yang merungsingkan itu.

Kedah dijadualkan bakal menghadapi perlawanan persahabatan pertama tahun ini menentang Felcra FC di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok pada Rabu malam. -Kedahnews.com