Gambar Hiasan |
Serabut perut, pening kepala, serba tak kena, tak tahu nak sokong dan ikut siapa, semuanya berilmu dan amat fasih serta lahjah (dialek) Arabnya begitu terserlah apabila membaca petikan al-Quran dan hadis.
Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘gajah sama gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah’ dalam konteks dimensi kali ini pelanduk itu boleh ditafsirkan sebagai masyarakat awam yang kurang arif mengenai agama.
Natijahnya amat besar. Mereka yang baru nak berjinak-jinak dengan agama, bukannya semakin mendekati tetapi mungkin memilih untuk menjauhi terus. Keadaan sama juga tidak mustahil berlaku terhadap kumpulan yang masih belum mendapat hidayah Allah SWT tetapi jauh di sudut hati cukup tertarik dengan keindahan Islam.
Akhirnya kesimpulan yang dibuat oleh mereka, agama ini yang sepatutnya menjadi rahmat kepada seluruh umat manusia seolah-olah tidak menjadi seperti yang dimaksudkan.
Ini kerana para ustaz bergaduh sesama ustaz langsung tanpa sebarang tamakninah yang sepatutnya, label-melabel dengan perkataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seseorang yang arif mengenai agama.
Manakala pengikutnya yang taksub atau taklid membuta-tuli pula menggunakan sepenuhnya laman-laman alam maya untuk mengutuk semahu-mahunya kumpulan ‘musuh’ sambil diselang-selikan dengan menghina ulama silam yang menjadi mursyid kepada kumpulan tersebut.
Ini adalah fitnah kerana ulama silam yang telah menghadap Ilahi itu telah terbukti keilmuannya dengan penulisan karya yang telah diiktiraf. Malah ulama itu sendiri mengakui bahawa mereka bukannya maksum.
Setiap insan mempunyai kesilapan dan kesalahan. Jika seorang ulama ditolak hanya kerana kesilapan ijtihad, maka tidak ada seorang ulama pun yang tidak silap. Sewajarnya kita menilai kebaikan seseorang insan berbanding kesilapannya.
Kaedah fikah ada menyebut bahawa apabila air sampai dua kolah maka air itu tidak akan bernajis. Ini bermakna sedikit kesilapan tidaklah akan merosakkan kredibiliti dan kebaikan seseorang insan.
Tidak salah untuk berbeza pendapat tetapi biarlah beradab. Rasulullah SAW diutuskan kepada manusia bukan untuk menjelaskan soal ibadah kepada kita sahaja, bahkan baginda juga adalah contoh teladan terbaik dalam pergaulan sesama manusia.
Rasanya para ustaz biasa membaca hadis ini. Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah bersabda:
“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri,” - Riwayat Bukhari dan Muslim
Dalam kehidupan seharian sama ada ustaz atau sebaliknya, tidak sepatutnya bersikap bongkak dan ego untuk mendengar pandangan orang lain.
Rasulullah mengajar supaya sentiasa terbuka dalam menerima teguran, baginda sendiri walaupun seorang Nabi yang maksum namun tetap berbincang dan mengambil pandangan daripada sahabat-sahabatnya.
Dicadangkan kepada pihak berwajib, tidak salah jika diwujudkan satu majlis atau jawatankuasa sama ada secara formal atau sebaliknya untuk menjernihkan hubungan sesama ustaz ini. Jika takut memalukan segelintir yang bertaraf selebriti, jemputlah secara senyap-senyap, berbincanglah secara anak-beranak.
Ulama pewaris Nabi amat mulia kerana mereka adalah penyambung kerja-kerja dakwah Rasulullah di atas muka bumi ini. Tersilap adalah lumrah bagi manusia, jadi amat tidak salah jika saling mengingati mana-mana yang sedikit tergelincir dari landasan.
Cukup-cukuplah mengeluarkan segala ‘perbendaharaan’ kata yang tidak elok.
Sumber: Utusan