Ahmad Lutfi Subahan, 19, percaya sikap seumpama itu, sekali gus membantu diri bersama-sama rakan mengulang kaji mata pelajaran.
“Sebenarnya saya sendiri tidak sempat mengulang kaji pelajaran dan berasa tertekan kerana sibuk dengan tugas sebagai Exco Disiplin, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Saya berdoa supaya dipermudahkan dan tidur selama 15 minit selepas waktu Asar sebelum memberi tunjuk ajar kepada rakan dengan fikiran tenang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan STAM 2015 Maahad Johor oleh Pengetuanya Suliman Dumang, hari ini.
Sebanyak 26 pelajar Maahad Johor memperoleh mumtaz pada STAM 2015 dengan tiga daripadanya memperoleh mumtaz sofi (sangat cemerlang).
Ahmad Lutfi berkata beliau juga mengamalkan puasa sunat malah amat bersyukur apabila muncul salah seorang daripada tiga pelajar memperoleh mumtaz sofi di sekolah itu.
Anak bongsu daripada lima beradik itu ditemani bapa, Subahan Masud, 56, dan ibu, Zaiton Mohamed, 56, itu menyatakan hasrat melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir, bagi mencapai cita-citanya sebagai pendidik.
Sementara itu, Wan Amirul Hakim Wan Zainuddin, 19, yang turut mencapai mumtaz sofi, berkata penguasaan Bahasa Arab dan tumpuan penuh dalam kelas merupakan kunci kejayaannya.
“Belajar di aliran agama merupakan sesuatu yang amat penting bagi kami supaya menguasai Bahasa Arab sama ada nahu dan tatabahasanya. Dengan ini barulah kami dapat memahami pelajaran yang diajar dan dapat beramal dengan ikhlas,” katanya.
Wan Amirul Hakim, yang bercita-cita melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, berkata beliau tidak mempunyai jadual khusus untuk belajar dan tidak belajar secara berkumpulan.
“Saya merujuk kepada guru atau rakan sekiranya tidak memahami sesuatu mata pelajaran,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang berasal dari Pekan, Pahang. – BERNAMA