"Demam Dilwale": Siapa Penyanyi Sebenar Gerua, Janam Janam?


Selain "demam Star Wars", rakyat Malaysia juga dilanda "demam Dilwale" pada awal tahun 2016 ini.

Apatah lagi disulam dengan klip lagu "Gerua" yang meletup-letup itu merupakan klip video termahal dalam sejarah industri Bollywood, khabarnya ramai yang beratur panjang di pawagam-pawagam di seluruh negara walau sebelum ini merungut perlu bayar cukai GST di Facebook.

Namun kenalkah kita pada penyanyi sebenar yang menyanyikan lagu-lagu di dalam filem Dilwale yang kini menjadi siulan ramai itu?

Sebenarnya, lagu-lagu yang di "miming" oleh Shahrukh Khan dan Kajol itu dinyanyikan oleh penyanyi muda baru yang bersuara emas Bollywood, Arijit Singh dan Antara Mitra.

Walaupun pada mulanya, ramai yang meragui kemampuan dua penyanyi muda ini menyanyikan lagu latar filem Hindi berbanding penyanyi legenda Udit Narayan dan Alka Yagnik yang terkenal dengan lagu Kuch Kuch Hota Hai, Aab Laut Chalen dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, Arijit dan Antara berjaya menutup mulut pengkritik dengan membawakan lagu-lagu seperti Janam Janam dan Gerua dengan cemerlang sekali.

Arijit Singh
Arijit yang terkenal dengan imej selekeh dan berjambang ini sebenarnya baru berusia 29 tahun namun sudah mula mencipta fenomena di India dengan pendapatan yang dilaporkan melebihi USD$5 juta setahun.

Antara Mitra
Manakala Antara pula adalah merupakan bekas pelajar perubatan yang meninggalkan pengajiannya di universiti untuk menyertai pertandingan realiti di India dan kini sedang menjadi rebutan para produser filem Bollywood.

Itulah kisah serba ringkas tentang Arijit dan Antara yang merupakan penyanyi kepada lagu-lagu filem Dilwale itu...- Kedahnews.com