Pasangan kekasih ditahan di motel Padang Temusu. |
SUNGAI PETANI - Sepasang kekasih memberi alasan mereka sepupu apabila dicekup berdua-duaan dalam sebuah bilik motel di Padang Temusu, di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan operasi khas sempena tahun baharu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) itu, pasangan terbabit mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk keluar selepas pintu bilik mereka menginap diketuk kira-kira jam 3 pagi.
Ketika disoal, lelaki terbabit bersama pasangannya masing-masing berpakaian lengkap memberi alasan menyewa bilik untuk bersembang sebelum terlena kerana penat bersiar di Pekan Sungai Petani.
Selain itu, pasangan masing-masing berusia 23 dan 22 tahun itu memberi alasan sudah bercinta sejak dua tahun lalu dan dalam perancangan untuk bernikah tidak lama lagi.
Difahamkan, lelaki terbabit dari Kota Kuala Muda dan tidak bekerja, manakala pasangannya dari Tikam Batu dan bekerja di sebuah kilang elektronik, di sini.
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Alwi Othman berkata, pasangan kekasih itu ditahan selepas disyaki berdua-duaan tanpa ikatan sah.
Dalam operasi sama, menurutnya, empat lagi pasangan kekasih berusia antara 18 hingga 31 tahun ditahan.
"Ada yang beralasan tidak sempat balik rumah, datang berkursus, masalah keluarga, tiket habis dan menunggu kawan.
"Mereka di bawa ke Balai Polis Sungai Petani untuk diambil keterangan sebelum ke pejabat JHEAIK dan dijamin keluarga," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Syeikh Alwi berkata, jumlah kes menurun daripada 15 pasangan kepada lima pasangan tahun ini berbanding operasi sama tahun lalu.
"Majoritinya berasal dari luar bandar seperti Baling, Tanjung Dawai dan Kota Kuala Muda... kebanyakannya ada masalah keluarga.
"Jadi, kita saran mantapkan sistem kekeluargaan sebab pergaduhan ibu bapa akan jadi punca anak-anak terjebak gejala tak sihat," katanya.
Difahamkan, dua saman turut dikeluarkan masing-masing terhadap pasangan di sebuah hotel di Bedong yang didapati bernikah tanpa kebenaran di Selatan Thailand dan pasangan berkelakuan tidak sopan di Taman Jubli Perak.
Terdapat lebih 30 lokasi diserbu dalam operasi itu, terutama hotel murahan.
Operasi menjelang sambutan tahun baharu 2016 yang bermula kira-kira jam 11.30 malam hingga jam 5 pagi itu mendapat kerjasama 40 anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Penyiasatan
Khas Angkatan Tentera, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Yan serta Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Kuala Muda, Mohd Fitri Amin Zainol berkata, enam individu membabitkan lima lelaki dan seorang wanita dikesan positif dadah.
"Semua suspek berusia 17 tahun hingga 39 tahun ditahan kerana positif dadah di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian