Dituduh Ekslpitasi IslamUntuk Bisnes, Rayani Air Tampil Jawab Tun M


PUTRAJAYA – Selepas ‘dihentam’ pelbagai tohmahan jahat oleh segelintir bukan Muslim dan Parti Amanah Negara (PAN) pro-DAP, Rayani Air mula balas kritikan terhadap pihak pengkritik yang dilihat ada agenda tersirat.

Terbaharu, syarikat penerbangan tempatan itu membidas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan Rayani Air konon cuba mempergunakan nama Islam untuk mengaut keuntungan.

Menurut Ketua Pengarah Operasinya, Kapten Sumar Lee Hashim Lee, pihaknya cuba menampilkan ciri-ciri Islam dalam penerbangan mereka kerana bertepatan dengan imej Malaysia sendiri sebagai sebuah negara Islam contoh.

Beliau sekali gus menolak dakwaan Rayani Air hanya bermotifkan keuntungan semata-mata, sebaliknya ia cuba bantu bangsa Melayu khususnya dalam ‘cari’ rezeki bekerja halal patuh syariah berbanding syarikat udara lain.

Meskipun pemiliknya adalah berbangsa India dan bukan Muslim, namun konsep keislaman yang diterapkan itu adalah cetusan idea daripada empat orang kakitangan dalam bidang pengoperasian termasuk diri beliau sendiri.

“Itu mungkin sekadar pandangan peribadi Tun, dalam sesuatu perniagaan apa-apa pun memang syarikat hendak untung, sebab kalau tidak mahu untung, lebih baik mereka tidak perlulah berniaga dengan susah payah.

“Tetapi apabila ada dakwaan kononnya kita mempergunakan nama Islam untuk kaut keuntungan, itu adalah tidak betul, kita hanya bawa ciri-ciri Islam dalam syarikat penerbangan ini yang tiada pada pesaing kami sendiri.

“Contohnya kita tengok bisnes tudung Fareeda atau Neelofar. Jika tidak kerana ciri-ciri Islam yang ditampilkan, pengeluar tudung itu sendiri pun takkan untung,” kata Sumar Lee dalam temubual eksklusif portal BNBBC.my.

Rayani Air akhir bulan lalu mula menjadi sensasi apabila memperkenalkan imej sebagai syarikat penerbangan tempatan pertama patuh syariah yang mewajibkan krew kabin khasnya wanita Muslim untuk memakai tudung.

Syarikat tersebut juga menyediakan hidangan daripada sumber halalan toyyiban, melarang penyajian minuman keras malah mengamalkan bacaan doa menerusi pengumuman suara sebelum pesawat memulakan penerbangan.

Langkah unik Rayani Air itu, mendapat respons daripada Dr. Mahathir apabila mempersoalkan adakah melayan penumpang dengan pramugari memakai tudung boleh menunjukkan ia lebih Islam berbanding syarikat yang lain.

“Pakai tudung masa buat kerja itu salahkah? Ia sopan, Islam wajib pakai tudung, itu antara ciri-ciri Islam yang kita masukkan, di Malaysia juga sekarang ni ciri keislaman sudah menjadi satu tarikan dan ia adalah satu kebaikan

“Bukan hendak tunjuk kami yang lebih Islam, cuma kita mahu penuhi kehendak keislamaan dengan ketengahkan konsep asas ciri-ciri Islam di mana kita telah mewajibkan semua pekerja wanita Muslim kita mesti pakai tudung.

“Polisi yang kita buat itu bahkan disambut baik, bukan setakat pekerja kami menyambut baik, malah sekarang ni wanita Malaysia semakin ramai yang tampil ‘berhijrah’ dengan mula berani memakai tudung,” ujar Sumar Lee.

Rayani Air melakar rekod sebagai syarikat penerbangan berkonsepkan patuh Syariah sepenuhnya yang keempat di dunia selepas Saudi Arabian Airlines, Iran Air dan Royal Brunei Airlines. – Agensi