Donald Trump Halau Keluar Muslimah Berhijab Dari Majlis Kempen

WASHINGTON - Kelantangan calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengutuk kegiatan pengganas selain sikap anti Islam terbukti apabila dilaporkan telah bertindak menghalau seorang muslimah pada satu majlis anjuran parti Republikan.

Wanita Islam bertudung itu diarah keluar kerana dikatakan "sengaja" mengganggu ucapan ahli perniagaan terkemuka itu di South Carolina.

Rose Hamid, 56, diiringi dua anggota polis hanya kerana tindakannya berdiri semasa Trump dengan lantang menuduh pelarian Syria telah bergabung dengan kumpulan militan IS.

"Saya hanya diam dan berdiri sebagai tanda protes.

"Semasa diarah meninggalkan dewan, penyokong Trump bersorak gembira malah salah seorang daripada mereka bertindak keterlaluan dengan menuduh saya membawa bom," kata Rose.


Memetik dari laporan CNN, Rose dilihat memakai baju T dengan tulisan "Salam, saya datang dengan aman" ketika menyertai kempen berkenaan.

Sebelum ini, Trump terkenal dengan sikapnya anti migran dan pernah mencadangkan supaya umat Islam dilarang sama sekali untuk masuk ke Amerika Syarikat.

Selain itu, Trump merupakan calon dari parti Republikan bagi merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat. -Kedahnews.com