KUALA LUMPUR - Tuah angka 16 nyata menyebelahi pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman apabila tajaan The Red Warriors (TRW) bernilai RM16 juta menjadi kenyataan pada Januari 2016.
Malahan tuah angka itu turut diakui anak kelahiran Machang, Kelantan yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida itu pada pertemuan eksklusif dengan mStar Online baru-baru ini.
Beliau berkata, angka tersebut cukup sinonim dengan dirinya.
"Saya suka nombor enam, jadi boleh dikatakan 16, nombor bertuah saya. Nombor rumah dan kereta saya pun guna angka tersebut. Boleh dikatakan nombor ini amat dekat dengan diri saya selama ini.
"Tahun ini pun ada angka 16, tak sangka niat saya untuk membantu Kelantan dimakbulkan pada tahun ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti yang diinginkan," katanya.
Usahawan kosmetik terkemuka negara itu berkata, 2016 adalah kemuncak kariernya apabila produk Pamoga Qu Puteh mendapat sambutan luar biasa.
"Selepas berjaya mencetuskan fenomena dalam industri hiburan, saya harap dengan menaja The Red Warriors dapat membantu mengukuhkan jenama produk saya dan menembusi pasaran baharu," katanya.
Ditanya mengenai kejutan yang akan dilakukan terhadap industri bola sepak negara, Vida berkata, beliau merangka beberapa strategi untuk memastikan kaum hawa bersama-sama memeriahkan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru, Kelantan.
"Jika sebelum ini ibu mahupun isteri akan duduk di rumah, kena tinggal dengan suami tiap kali tengok bola. Tapi lepas ni mereka akan sama-sama memeriahkan stadium pink, katanya.
Pada Jumaat lalu, Vida dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mencapai kata sepakat dalam rundingan berkaitan perjanjian penajaan pasukan bola sepak itu.
Namun, majlis memeterai perjanjian penajaan TRW akan dimeterai dalam satu majlis rasmi di ibu negara pada 15 Januari ini.
Sumber: mStar