Dr Vida Qu Puteh Dedah Amalan-Amalan Untuk Jadi Jutawan Berjaya

Datuk Seri Dr Hasmizah Othman
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan, akhir-akhir ini timeline Facebook dipenuhi dengan video yang memaparkan kekayaan Datuk Seri Dr Hasmizah Othman atau Datuk Seri Vida menerusi program terbaharu keluaran Astro, Terlajak Putih Nampak.

Video viral itu hangat diperkatakan kerana ramai yang terkejut dan kagum akan kemewahan dimiliki usahawan kosmetik ini.

Bercerita mengenai rahsia kejayaannya kepada umum, Datuk Seri Vida mendedahkan bahawa dia mengamalkan solat hajat dan solat sunat Dhuha.


“Saya amalkan solat hajat 10 kali sehari sebelum dan selepas solat fardu selain menunaikan solat sunat Dhuha setiap hari agar perjalanan hidup saya dipermudahkan dan dimurahkan rezeki.

“Alhamdulillah sejak berniaga saya tidak pernah gagal untuk melaksanakan kewajipan ini meskipun kehidupan saya sudah senang dan perniagaan pula semakin maju,” katanya.


Selain itu, personaliti yang popular dengan tagline, ‘Qu Puteh, Qu Puteh, Barulah Putih’ ini berkata, sejak kecil dia turut dididik mengamalkan bacaan zikir dan selawat dalam kehidupan seharian selain sentiasa berdoa memohon agar diampun dosa tanpa mengira waktu.

“Amalan ini saya buat dari kecil selain bangun malam untuk menunaikan solat sunat dan berdoa malah saya sentiasa berusaha untuk tidak mengabaikan kewajipan ini agar tidak lalai dan terleka.

“Saya sebenarnya bimbang jika perkongsian ini dianggap menunjuk-nunjuk sehingga menimbulkan riak tetapi saya memandang ia dari sudut positif dan berharap semua ini jadi ikutan,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan lain, Vida, 44, dikhabarkan bakal menaja pasukan bola sepak, The Red Warriors (TRW). – Kedahnews.com