Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengarahkan operator bekalan air bersih di setiap negeri memantau rapi tahap sumber air di kawasan masing-masing berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda negara.
Pengerusinya, Datuk Ismail Kasim berkata, operator bekalan air bersih diminta memantau rapi kedudukan sumber di empangan dan sungai yang membekalkan sumber air mentah ke loji-loji rawatan air di negeri masing-masing.
“Ini adalah kerana kerajaan negeri adalah bertanggung jawab untuk memastikan sumber air di negeri masing-masing mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air.
“Selain daripada sumber air di empangan dan sungai, kerajaan negeri juga diminta mengkaji sumber alternatif seperti air bawah tanah dan kolam takungan bagi menambah sumber,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Ismail bagaimanapun berkata, bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan masih dalam keadaan terkawal setakat ini.
Katanya, SPAN masih belum menerima sebarang laporan kekurangan sumber air disebabkan oleh cuaca panas dan kering.
“Pengguna-pengguna juga dinasihatkan supaya berhemah dalam menggunakan air dan tidak membazir supaya sumber air yang ada akan dapat bertahan lebih lama,” katanya. –Kedahnews.com