Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz |
KUALA LUMPUR – “Era PAS melawan UMNO dengan emosi dan amarah telah berakhir,” kata Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Menurut beliau, sekarang ini zaman PAS bersemuka dengan UMNO dengan ilmu, iman dan kematangan.
“Itulah penambahbaikan dalam PAS melalui proses tajdid yang dituntut oleh agama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Naiib Tun Razak sewaktu berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 menjelaskan parti itu bersedia bekerjasama dengan PAS demi agama Islam dan kaum Melayu.
Tawaran kerjasama itu disambut baik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menegaskan kepentingan Islam menjadi agenda utama parti berkenaan sejak ditubuhkan.
Namun, kata Abdul Hadi, PAS masih perlu meneruskan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor berdasarkan keputusan yang dibuat majlis syura parti itu sebelum ini.
Ramai pihak bagaimanapun berpandangan PAS terpaksa memberi reaksi seperti itu demi menjaga kedudukan kerajaan Selangor yang kini turut ditadbir wakil PAS. – Kedahnews.com