KUALA LUMPUR – Pelakon Fasha Sandha sah bercerai talak satu dengan suaminya Rizal Ashram Ramli atau Jejai di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutan di sini pada Rabu.
Lafaz berkenaan dibuat di dalam kamar Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab kira-kira pukul 3 petang.
Fasha, 32, terdahulu memfailkan permohonan cerai tersebut pada 18 Januari lalu di mahkamah sama.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.
Fasha diwakili oleh Peguam Syarie Zulkifli Che Yong.
Jejai yang hadir ditemani oleh rakannya kelihatan menangis teresak-esak ketika keluar dari kamar hakim sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah.
Fasha bagaimanapun ketika ditemui media enggan mengulas lanjut mengenai perceraian tersebut.
Bagaimanapun, Fasha menerusi pengurusnya mengedarkan kenyataan media kepada wartawan yang hadir pada perbicaraan itu.
Dalam kenyataan berkenaan berkata, perceraian tersebut adalah jalan terbaik untuk kedua-dua belah keluarga.
Malah katanya, dia sudah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan tersebut dan redha dengan perceraian itu.
“Saya redha dan akan meneruskan kehidupan bersama kedua-dua anak saya Putra Rayfal dan Putri Raysha,” katanya.
Terdahulu Fasha hadir ke mahkamah kira-kira pukul 2.15 petang dan turut ditemani oleh pelakon dan penyanyi Farahdhiya dan Rita Sosilawati.
Manakala Jejai tiba di mahkamah 10 minit kemudian.
Pihak media telah berkumpul di perkarangan mahkamah seawal pukul 10 pagi bagi mengikuti perbicaraan kes pelakon berkenaan.
Fasha dan Jejai telah bernikah pada 27 April 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal yang berusia dua tahun dan Putri Raysha Jemyma yang berumur setahun.
Sebelum itu Jejai pernah bekahwin dengan Nora Danish pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada 10 Julai 2008.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat seorang anak lelaki iaitu Putra Rayqal yang kini berusia tujun tahun.
Sumber: mStar