Giant Kesal Kes Bawa Anjing Dalam Troli, Sertu Semua Troli Pasaraya


Pihak pengurusan pasar raya Giant Malaysia meluahkan rasa kesal dan memandang serius tindakan segelintir individu yang "tidak faham bahasa" membawa haiwan peliharaan menggunakan troli untuk kemudahan pelanggan pasar raya mereka.

Dalam satu kenyataan tentang isu sensitif khususnya di kalangan umat Islam di negara, Giant Malaysia memberitahu polisi mengenai larangan membawa haiwan peliharaan telah dipamerkan di semua premis mereka.

Susulan insiden yang berlaku di Giant cawangan Cheras Batu 9, beberapa hari lalu, pihak Giant terpaksa mengambil langkah segera mensertu troli mereka dengan bantuan daripada pihak masjid berhampiran.

Menurut kenyataan itu, Giant Malaysia juga akan menjalankan siasatan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

“Kami memandang pelanggaran Prosedur Standard untuk tidak membenarkan haiwan peliharaan dibawa masuk ke premis perniagaan sebagai satu perbuatan serius," katanya kenyataan tersebut.

Jelasnya pihak pengurusan pasaraya itu, siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan akan diambil untuk memastikan kejadian ini tidak akan berulang pada masa depan.

“Untuk terus memberikan pelanggan pengalaman yang baik di cawangan kami, Giant akan memasang papan tanda di kesemua cawangan kami. Segala kesulitan yang berlaku amat dikesali,” menurut kenyataan itu lagi.

Tindakan pantas pihak Giant mensertu troli milik mereka mendapat respons yang baik dengan mendapat ratusan like dan turut dikongsi oleh pengguna Facebook yang lain.

Minggu lalu, dilaporkan tentang gambar seorang pelanggan membawa anjing menggunakan troli di pasaraya berkenaan dan ia tersebar meluas di laman sosial sehingga mencetus senstiviti masyarakat.

Tindakan pelanggan tersebut mendapat kecaman ramai pihak kerana tidak sensitif terhadap pengunjung lain terutamanya yang beragama Islam.

Sebelum ini, Kedahnew.com turut melaporkan tentang insiden yang serupa membabitkan pasaraya Aeon Big di Alor Setar dan beberapa kejadian sama turut dilaporkan berlaku di beberapa pasaraya terkemuka. -Kedahnews.com