"Gilakah Saya Nak Kenakan Bayaran Mahal Macam Tu?" - Ustaz Kazim Elias

Datuk Mohd. Kazim Elias
PUTRAJAYA – “Saya tidak pernah menetapkan sebarang kadar bayaran tertentu untuk ceramah, berapa hendak bagi, terpulanglah kepada perkiraan tuan-tuan sendiri.

“Saya sudah berceramah lebih 25 tahun dan tidak pernah saya menetapkan bayaran tinggi, apatah lagi yang konon boleh melambung sampai ada cecah RM25,000!

“Gilakah saya hendak mengenakan bayaran mahal macam itu? Asalkan dapat lepas untuk bayar kos duit minyak kereta dan tol lebuh raya pun dikira sudah cukup.

“Pernah habis sahaja berceramah, ada orang (pihak penganjur) yang cuma dapat bagi saya dengan sebiji bunga telur, saya hendak buat macam mana, terima sajalah”.

Itu penjelasan pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias yang menafikan ada mengenakan bayaran puluhan ribu ringgit apabila berdakwah menerusi ceramah.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Ustaz Kazim bagaimanapun meletakkan keadaan tersebut kepada peranan dimainkan orang tengah yang cuba mengambil kesempatan.

Menurutnya, pihak terbabit bersedia ‘perdaya’ pihak berminat jemput beliau terutama ahli politik, dengan mengenakan bayaran sehingga RM25,000 bagi satu ceramah.

“Kebanyakan mangsanya ialah YB (Yang Berhormat), orang tengah bagi tahu YB kalau hendakkan saya berceramah, kena bayar sebanyak RM20,000 hingga RM25,000.

“YB terpaksa cari duit berkenaan, selesai saya berceramah, orang tengah itu hanya bagi kepada saya RM2,000. Baki RM18,000 itu pula dia masuk poket sendiri,” katanya.

Keadaan tersebut ujarnya yang dipetik oleh akhbar Harian Metro, secara tidak langsung telah banyak menjejaskan imej baik beliau sebagai pendakwah selama ini.

Justeru, Mohd. Kazim menyarankan mana-mana pihak berminat menjemputnya berceramah agar berhubung terus dengannya tanpa guna khidmat orang tengah.

Pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh, Perak berusia 43 tahun itu mula terkenal menerusi slot ceramah agama di stesen radio Perak FM pada 2000 lalu. – Agensi