Guan Eng Belum Tetap Keputusan Haramkan VAPE Di Pulau Pinang

Lim Guan Eng
GEORGE TOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang belum memutuskan untuk mengharamkan vape di negeri ini berikutan perlu mengadakan perbincangan lebih terperinci berhubung perkara itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata beliau memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi untuk membuat keputusan berkenaan isu vape selepas mendengar fakta dan penerangan terperinci daripada pihak Kementerian Kesihatan, pakar serta peniaga vape.

Lim ketika memberikan rumusan akhirnya pada penggulungan Sesi Dialog Awam berkenaan isu vape bersama kerajaan negeri hari ini berkata keputusan yang bakal dibuat nanti adalah berdasarkan fakta serta maklumat-maklumat kepakaran.

"Kami akan buat keputusan berdasarkan fakta, pada sesi ini kita lihat pandangan yang saya rasa menonjol adalah daripada kementerian kesihatan dan Pusat Racun Negara. Aspek kesihatan merupakan keutamaan semua pihak. Pada masa ini kami masih menunggu nput daripada peniaga vape.

"Saya inginkan maklumat dan fakta daripada ramai pengusaha vape, pandangan yang diberikan oleh pengusaha vape tadi tidak berapa menyakinkan kerajaan negeri," katanya.

Justeru Lim meminta pengusaha-pengusaha vape tampil memberikan pandangan bersertakan fakta dan maklumat.

Dalam pada itu Lim berkata kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen baharu untuk menjual vape sementara menunggu keputusan yang akan diumumkan kelak.

Bagaimanapun lesen yang telah dikeluarkan tidak akan ditarik balik, katanya.

Sementara itu Pengerusi Penguasaha Vape Pulau Pinang (PPVPP) Muhammad Hafidz Adnan ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog itu berkata beliau dan pengusaha vape lain akan memohon lesen perniagaan sementara daripada kerajaan negeri untuk menjual vape.

Muhammad berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin bagi mengemukakan pandangan mereka dan memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

"Sebagai pengusaha vape kami berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pandangan dan pendapat kami sebelum keputusan diambil," katanya.

Terdahulu dalam sesi dialog itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V Subbarow menggesa kerajaan negeri mengharamkan vape serta-merta kerana ia membahayakan kesihatan.

Subarrow berkata berdasarkan tinjauan CAP, terdapat pelajar sekolah turut menggunakan vape.

Sumber: mStar