Gunakan Bendera Singapura Sebagai Alas Meja, Israel Mohon Maaf


Kedutaan Israel di Singapura membuat memohon maaf susulan tindakan seorang kakitangannya yang menggunakan bendera Singapura sebagai kain alas meja dalam satu majlis jamuan makan yang diadakan di Kondominium Levelz di Farrer Road, pada Ahad lalu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Rabu, Kedutaan Israel menzahirkan rasa terkejut terhadap kesalahan pekerjanya itu.

Pengarah Agung Kementerian Ehwal Luar Israel juga berjanji akan mengambil tindakan disiplin terhadap pekerjanya setelah pertemuan diadakan dengan pihak berkuasa Singapura.

Pada masa sama, beliau menyifatkan kejadian itu sebagai serius, memandangkan hubungan baik yang terjalin antara Singapura dan Israel.

Memetik laporan Mediacorp, beberapa gambar yang dirakam ketika majlis itu jelas menunjukkan bendera Singapura digunakan sebagai alas meja dalam satu jamuan di mana terdapat botol bersepah dan sepasang kaca mata di atasnya.

Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat berhubung isu ini dan duta Israel di Singapura telah dipanggil oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura, (MFA).

Sementara itu, MFA dalam satu sidang media menyatakan, pihaknya mengalu-alukan permohonan maaf dari kedutaan Israel berhubung kesalahan pekerjanya.

MFA menegaskan, menyalahguna bendera negara itu adalah satu kesalahan serius. Kesemua pihak yang berada dalam Singapura termasuk para diplomat dan warga asing haruslah menghormati serta mematuhi undang-undang negara itu. – Agensi