Guru Melayu Dimaki Dalam Bahasa Cina, Dihalau Guru Besar SJKC


Seorang guru wanita Melayu yang mengajar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Mersing, Johor, mendakwa dia dan dua lagi guru pernah dihalau oleh guru besar di sekolah berkenaan dari terus bertugas di sekolah itu.

Memetik dari satu salinan laporan polis yang dibuat, dikatakan bahawa masyarakat Cina di sekolah vernakular itu juga 'tidak memerlukan' guru berbangsa Melayu kerana mereka memegang persepsi kononnnya guru berbangsa Melayu tidak tahu mengajar.

Difahamkan bahawa guru wanita itu juga telah membuat satu laporan polis semalam di Balai Polis Mersing kerana telah diserang bapa seorang murid sekolah yang sama yang dikatakan telah memaki hamunnya dengan menggunakan bahasa Cina pada 5 Januari lepas.

Guru wanita itu mendakwa pada pukul 12.20 tengahari semalam, dia didatangi bapa murid berkenaan yang menyerangnya dengan membaling buku dan alatan mengajar padanya dalam satu kejadian di bilik guru.



Bapa murid itu juga dikatakan telah memarahi guru wanita tersebut sehingga memaksa seorang lagi guru tampil menenangkan keadaan yang kecoh disebabkan serangan dari bapa murid tersebut.

“Hal ini disaksikan oleh empat orang guru iaitu (dirahsiakan)… Sebelum ini, iaitu pada 5 Januari, murid itu telah memaki saya dalam bahasa Cina tanpa sebab semasa sesi P&P dijalankan.

“Saya telah melaporkan kejadian ini kepada guru kelas tetapi sehingga pukul 1 tengahari (hari kejadian) tidak ada sesiapapun (guru besar, guru kelas atau guru penolong kanan) yang datang berbincang dengan saya mengenai hal ini,” katanya dalam laporan polis berkenaan.

Difahamkan bahawa imej laporan polis berkenaan telah viral tersebar di laman-laman sosial bermula hari ini. -Kedahnews.com