Hampir 99 Peratus Terima Tawaran Belajar Di Sekolah Imtiaz - Exco Pendidikan


KUALA TERENGGANU - Hampir 99 peratus pelajar tingkatan satu yang ditawarkan tempat di Sekolah Menengah Imtiaz menerima tawaran itu dan mula mendaftar di tujuh buah sekolah Imtiaz seluruh Terengganu hari ini bagi sesi persekolahan 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata jumlah itu adalah satu pencapaian luar biasa berbanding tahun-tahun sebelum ini di mana ada juga pelajar yang ditawarkan tempat ke Imtiaz memilih untuk melanjutkan pembelajaran di sekolah elit lain seperti Sekolah Sains dan Maktab Rendah Sains Mara.

"Ini adalah satu perkembangan yang sangat positif di mana kecemerlangan akademik pelajar Imtiaz selain kemampuan mereka dalam menghafaz al-Quran mula menjadi tumpuan masyarakat.

"Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu juga menerima ribuan permohonan dari ibu bapa dan pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran ke Imtiaz, namun kita hanya mampu menawarkan 605 tempat sahaja untuk kemasukan Tingkatan Satu pada tahun ini," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Pada tahun lalu, Yayasan Terengganu menawarkan 650 tempat untuk pelajar tingkatan satu dan penurunan pengambilan pelajar pada tahun ini disebabkan kekurangan jumlah kelas di Sekolah Imtiaz Kuala Nerus yang sehingga kini masih beroperasi di bangunan sementara di premis perniagaan di Gong Badak.

Terengganu mempunyai lima buah sekolah Imtiaz yang sudah beroperasi di bangunan sendiri iaitu Besut, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala dua lagi Sekolah Imtiaz iaitu Kuala Nerus dan Setiu masih beroperasi di bangunan sementara sebelum berpindah ke tapak kekal yang akan mula dibina tahun ini.

Mengulas lanjut, Ghazali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pengurusan pembelajaran serta keperluan harian di tujuh buah sekolah Imtiaz pada tahun ini.

"Kerajaan negeri juga akan memulakan pembinaan tiga buah sekolah Imtiaz bagi daerah Marang, Setiu dan Kuala Nerus pada tahun ini dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM180 juta.

"YT sudah mengenal pasti kawasan seluas 32 hektar di Kampung Gemuruh untuk pembinaan sekolah Imtiaz Kuala Nerus, 20 hektar di Kampung Banggol untuk Imtiaz Setiu dan 20 hektar di Kampung Bukit Mucung untuk pembinaan Imtiaz Marang," katanya. - BERNAMA