Hanya Warga Nepal Boleh Jadi Pengawal Keselamatan Di Malaysia – KDN

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Hanya warga asing dari Nepal dibenarkan berkerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini, namun untuk tempoh tiga tahun sahaja.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, warga Nepal terbabit bagaimanapun boleh memohon pelanjutan tempoh hingga tahun kelima tertakluk kepada dasar perkhidmatan pekerja asing di Malaysia.

Justeru, katanya, isu kebanjiran pengawal keselamatan warga asing di negara ini bukan disebabkan oleh dasar kerajaan.

Sebaliknya, ia disebabkan kecenderungan syarikat kawalan keselamatan menggunakan pengawal keselamatan warga asing secara haram kerana mahu mengaut keuntungan berlebihan.

“Dengan cara itu mereka tidak perlu membayar Levi, Cukai Perkhidmatan, KWSP dan juga tidak perlu menjaga kebajikan pekerja sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Terdapat juga syarikat kawalan keselamatan yang dengan sengaja tidak memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pengawal keselamatan warga Nepal yang bekerja dengan mereka,” dedahnya dalam satu kenyataan media semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim
Sehubungan itu, Alwi memohon orang ramai serta Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) melaporkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat tentang warga asing bekerja sebagai pengawal keselamatan secara haram.

Menurutnya, persatuan penduduk dan badan pengurusan perumahan perlu juga memainkan peranan dengan memastikan hanya pengawal keselamatan tempatan atau warga Nepal sahaja yang menjaga tempat mereka.

“Pada tahun 2014 dan 2015 sahaja, KDN telah membatalkan lesen 40 syarikat kawalan keselamatan dan 49 syarikat dikenakan amaran terakhir di atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan pengawal keselamatan warga asing haram.

“Berdasarkan kepada statistik tangkapan dalam operasi bersepadu di seluruh Negara yang telah dijalankan pada tahun 2014 dan 2015, seramai 1,090 warga asing haram yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah ditangkap,” katanya. –Kedahnews.com