Gambar Hiasan |
KUALA TERENGGANU – Masalah kejatuhan harga komoditi getah kini semakin membebankan dan memberi tekanan kepada peladang serta pekebun kecil, ditambah pula dengan keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Harga getah yang terus merudum menjejaskan kehidupan mereka apatah lagi hingga kini, belum ada tanda harga akan pulih semula ditambah pula musim hujan yang mula melanda Pantai Timur.
Pertengahan Oktober lalu, harga getah dilaporkan berada pada RM2.20 bagi setiap kilogram dan ianya menyebabkan kehidupan rakyat yang menoreh getah sebagai sumber pendapatan semakin terhimpit.
Penoreh, Zainun Ibrahim, 41, dari Kampung Kubang Bujuk berkata, harga getah yang semakin turun akhir-akhir ini memberi tekanan, terutama kepada keluarga yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan daripada hasil getah.
Menurutnya, masalah ini bertambah perit bagi mereka yang menoreh secara sistem pawah, yang mana hasil diperoleh dibahagikan pula dengan pemilik kebun getah.
“Setiap kilogram getah, iaitu harga semasa (RM2 hingga RM2.20) saya akan peroleh sekitar RM1 sahaja. Tetapi, saya sudah hampir dua bulan tidak menoreh kerana keadaan cuaca yang tidak menentu ini.
“Jika menoreh juga ketika ini, susu getah berisiko rosak kerana dimasuki air hujan dan walaupun hujan sekejap, batang getah yang basah tetap tidak boleh ditoreh. Hasilnya pula tidak seberapa. Bukan saya sahaja, rata-rata penoreh berhenti rehat sementara dan akan mula menoreh, apabila musim hujan reda,” katanya yang mempunyai empat anak yang kesemuanya masih bersekolah.
Suami Zainun, Lokman Imran, 41, yang turut menoreh getah sebagai kerja sampingan bagi menambah pendapatan keluarga berkata, jika dahulu kebun getah sentiasa cerah kerana aktiviti menoreh getah dijalankan secara aktif, malah turut disertai anak-anak muda dan mereka yang mempunyai pekerjaan tetap.
“Tetapi sekarang, kebun (getah) dipenuhi semak samun. Ketika harga getah tinggi, saya sendiri juga turut membantu isteri menoreh, kerana tidak sempat jika dia dibuat sendirian.
“Jam 3 pagi saya akan ke kebun (getah) dan menoreh sehingga Subuh, dan saya akan pulang untuk ke tempat kerja pagi esoknya. Tetapi apabila harga getah semakin menurun, hanya sesekali saya membantu, kerana tenaga yang dicurah tidak sepadan dengan hasil diperoleh,” katanya.
Namun, dia mengakui dengan pendapatan menoreh sebelum ini banyak membantu mereka sekeluarga untuk menikmati kehidupan lebih selesa, tetapi kini hidup mereka bergantung sepenuhnya pendapatan sebagai tukang rumah.
Sumber: Sinar Harian