KUALA LUMPUR - Kes hasutan melalui laman sosial seperti Twitter dan Facebook dijangka terus meningkat dan bakal mendominasi senarai kes mahkamah, kata pengamal undang-undang.
Oleh itu peguam Rezal Mazli Abdul Muin menyarankan agar tindakan tegas termasuk hukuman penjara mandatori dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah menggunakan laman sosial terutama bagi tujuan menghasut.
Beliau berkata hukuman sedia ada seperti denda yang dilihat umum sebagai ringan seolah-olah memberi ruang kepada pihak tersebut untuk sewenang-wenang melakukan kesalahan tersebut.
"Hukuman berat mampu mendidik dan menjadi amaran kepada anggota masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya menyebar berita palsu melalui laman sosial sehingga boleh memudarat ketenteraman dan keselamatan awam," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa laman sosial merupakan saluran untuk orang ramai berbincang atau memberi komen seperti 'bersembang-sembang di kedai kopi' tetapi oleh kerana sikap masyarakat yang gemar menyalahgunakannya menjadikan kebebasannya perlu disekat.
Bagi Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed, kerajaan perlu mengkaji semula atau menambah baik beberapa perkara terutama dari sudut pemberatan hukuman pemenjaraan.
"Ini berikutan beberapa kes sebelum ini dilihat seperti tidak memberi pengajaran. Dengan penambahbaikan tersebut, ia bukan sahaja boleh memberi pengajaran terhadap pelaku tetapi kepada anggota masyarakat secara am," katanya.
Beliau berkata seseorang individu cenderung untuk mengambil kesempatan terhadap perkembangan teknologi untuk menyebarkan sesuatu perkara dengan pantas.
"Ianya dilihat sebagai satu perlumbaan atau pertandingan untuk menyebarkannya dengan menggunakan apa sahaja saluran terutama WhatsApp, Facebook, Blog atau Twitter tanpa mengetahui kesahihannya," katanya.
Seorang lagi peguam, Fahmi Abd Moin berkata jika tiada tindakan tegas diambil oleh kerajaan, jumlah mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan laman sosial akan meningkat.
Sehubungan itu beliau menyambut baik tindakan kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menggunakan media sosial bagi tujuan memfitnah, menyalahgunakan atau menghasut orang lain untuk memperkecilkan kedudukan atau menyemai kebencian terhadap institusi kerajaan.
Beliau berkata Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) perlu sentiasa ke hadapan bagi membendung gejala itu selain menanam kepercayaan masyarakat terhadap PCIRC.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata Islam turut melarang penyebaran berita palsu kerana ia boleh memudarat orang lain. - BERNAMA