Helaian Al-Quran Dijadikan Trompet, Pihak Berkuasa Bertindak Tegas


JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia merampas sejumlah trompet kertas yang diperbuat daripada helaian kitab suci al-Quran yang dijual secara meluas di beberapa bandar di negara itu.

Trompet kertas yang dijual sempena untuk menyambut Tahun Baru itu dikesan diedar di Jakarta, Bekasi, Kendal dan di wilayah Bogor.

“Kami merampas 400 trompet kertas tulisan ayat al-Quran yang dijual di Parung dan sejumlah lagi di Leuwiliang dan Cibungbulang,” kata jurucakap polis Bogor, Aulia Djabar kelmarin.


Menurutnya, anggota tentera Indonesia merampas trompet yang sama di beberapa bandar lagi di Bogor.

“Kami mengambil keterangan peniaga untuk mengesan pihak yang membuat trompet berkenaan,” jelasnya.

Penjualan trompet itu mencetuskan bantahan beberapa pertubuhan Islam di Indonesia yang mahu kerajaan mengambil tindakan tegas.


Sementara itu, sebuah syarikat percetakan di Semarang, CV Aneka Ilmu mengakui trompet berkenaan diperbuat daripada helaian kitab al-Quran yang dicetaknya.

Pemiliknya, Suwanto berkata, kitab al-Quran itu sepatutnya dihantar untuk dilupuskan selepas rosak akibat terkena banjir.

“Kami menghantar kitab ini kepada sebuah syarikat untuk dibakar, tetapi kami tidak tahu ia dijual kepada syarikat lain dan digunakan untuk membuat trompet,” katanya. - Agensi