Henti Tabur Fitnah, Tabung Haji Tidak Pernah Gagal Bayar Dividen

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
SHAH ALAM - Para pendeposit Tabung Haji yang rasional tidak akan mengeluarkan wang depositnya hanya bersandarkan cerita di media sosial yang tiada asasnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendeposit seharusnya berpandukan Akta Tabung Haji yang jelas mengisyaratkan kerajaan sentiasa menjamin setiap sen wang pendeposit yang didepositkan.

"Bahkan sejarah membuktikan Tabung Haji tidak pernah gagal dalam membayar dividen dan bonus kepada para pendeposit hatta ketika negara mengalami krisis mata wang 1997.

"Malah kebimbangan Bank Negara lebih menjurus aspek pengurusan risiko kecairan Tabung Haji jika berlakunya pengeluaran deposit secara mendadak dan berskala besar," katanya, semalam.

Bagaimanapun, kata Asyraf Wajdi, Bank Negara telah mengeluarkan kenyataan perakuan bahawa pengurusan Tabung Haji diiktiraf proaktif dalam menguruskan risiko kecairan sebagaimana disarankan Bank Negara sebelum ini.       

"Justeru tidak timbul isu kewangan Tabung Haji yang didakwa bermasalah dan kerugian hingga kononnya terpaksa menangguhkan pengisytiharan dividen dan bonus.

"Ini fitnah besar yang semacam ada usaha licik dan terancang untuk menyerang dan menjatuhkan kredibiliti institusi-institusi agama sejak kebelakangan ini termasuk Tabung Haji oleh pihak-pihak kemaruk kuasa dan terlalu taksub berpolitik," katanya.

Sumber: Sinar Harian