"Hentikanlah Fitnah Ni! Kesian Kat Mak..." - Anak Pemandu Perodua Kancil


TRAGEDI yang menimpa adik Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang putus kedua-dua kakinya akibat digilis lori ketika pulang dari sekolah ternyata menimbulkan simpati seluruh masyarakat Malaysia yang berharap individu yang terlibat dalam kemalangan itu bertanggungjawab.

Sementara itu, anak sulung kepada pemandu kereta Perodua Kancil, Mia (bukan nama sebenar), 24, meluahkan rasa sedih apabila ibunya yang terlibat dalam nahas itu dikecam teruk oleh netizen di laman sosial.


Menurut anak pertama daripada enam beradik itu, kejadian itu telah memberi kesan mendalam terhadap mereka sekeluarga apabila ibu mereka dicaci dengan kata-kata yang mengguris perasaan.

“Tolonglah jangan tuduh kami macam-macam. Hentikanlah fitnah ni! Kesian kat mak. Kami tak ada ayah, mana lagi, kami nak tumpang kasih, kalau mak pun tak ada.

“Buat masa sekarang, tak payahlah tuduh sesiapa. Tunggu hingga siasatan selesai baru nak hentam siapa betul, siapa salah. Hormatilah perasaan kami sekeluarga. Adik-adik saya masih kecil lagi, tak tahu apa pun yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Mia memberitahu, ibunya telah menggalas tanggungjawab besar sejak 14 tahun lalu dengan menyara keluarga mereka selepas kematian bapa mereka.

“Selama ini, maklah yang didik dan sekolahkan kami dengan baik tanpa ayah. Dia besarkan kami dengan kudrat tulang empat kerat. Bila dah jadi macam ni, takkan nak diam diri, biarkan ibu seorang,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.


Ketika kejadian, wanita berusia 40 tahun itu dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil pelajar di sebuah sekolah.

Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan kedua-dua kaki seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap digilis sebuah lori pasir dari arah bertentangan selepas dia terjatuh dari motosikal akibat bergesel dengan sebuah kereta Kancil yang cuba memotong motosikal ditunggangi kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14.

Dua beradik tiri itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah menuju ke rumah mereka di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor. –Kedahnews.com