Gambar Hiasan |
SEORANG lelaki telah melakukan satu eksperimen yang memerlukannya menguji kebolehan katak mengawal suhu badan mengikut perubahan suhu persekitaran.
Oleh itu, dia memerlukan perkakasan seperti seekor katak, periuk, dapur dan juga air.
Bagi memulakan eksperimen ini, perkara pertama yang perlu dibuat adalah menyediakan dapur dan meletakkan periuk yang berisi air di atasnya.
Kemudian letakkan seekor katak di dalam periuk yang berisi air itu dan yang terakhir ialah memanaskan periuk.
Seterusnya, dapat dilihat suhu air yang dipanaskan mula meningkat sedikit demi sedikit. Namun apa yang menarik katak tersebut cuma melaraskan suhu badannya mengikut keadaan persekitaran dan berusaha membuat dirinya selesa.
Walau bagaimanapun, keadaan itu tidak kekal lama. Lama-kelamaan, kelakuan katak itu mula berubah kerana suhu air di dalam periuk mula menghampiri takat didih dan katak tersebut seperti tidak dapat menyesuaikan diri lagi.
Pada ketika itu, katak memutuskan untuk melompat keluar dari periuk yang semakin panas itu.
Dengan penuh usaha dan tekad, katak tersebut cuba untuk melompat periuk yang mengandungi air yang panas mendidih itu. Namun, usahanya gagal kerana katak itu telah kehilangan semua kekuatan yang dimilikinya sewaktu cuba untuk menyesuaikan diri dengan suhu air yang semakin meningkat sebentar tadi.
Akhirnya setelah lama berusaha, katak itu mati di dalam periuk yang sedang mendidih.
Berdasarkan kisah yang dikongsikan ini, apakan yang menjadi punca kepada kematian katak tersebut?
Anda pasti menyalahkan air mendidih kerana katak itu dilihat cuba sedaya upaya melepaskan dirinya.
Jika anda menjawab ya, pertimbangkan semula jawapan anda. Ini kerana, punca kematian katak itu disebabkan ketidakupayaan untuk memutuskan bila masa yang sesuai untuk melompat keluar.
Kisah katak ini sama seperti kisah hidup kita yang terlalu leka hidup dalam zon selesa. Kita berusaha untuk berada dalam zon yang selesa walaupun kita sedar zon selesa ini tidak mampu bertahan lama dan akan menjerat diri kita semula.
Oleh itu, marilah kita berubah dan bertindak untuk sesuatu yang lebih baik.. atau kisah kita mungkin berakhir seperti kisah katak itu.
Marilah kita memutuskan bila untuk melompat.
Marilah kita melompat sementara masih mempunyai kekuatan.
Marilah kita keluar dari zon selesa. - Kedahnews.com