KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kilang elektronik didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Rabu selepas mengaku bersalah menghina Sultan Johor dan Sultan Pahang di laman sosial Facebook, tahun lepas.
Hakim Balqis Aini Mohd. Ali turut memerintahkan tertuduh, Muhamad Hafzan Romli, 26, yang berasal dari Shah Alam, Selangor, dipenjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
“Kesalahan ini adalah serius yang mana kamu telah menghina institusi diraja negeri, secara tidak langsung mencemar prinsip Rukun Negara,” kata Balqis Aini ketika membacakan penghakiman.
Peguam Zamani Mukhtar yang mewakili tertuduh memberitahu anggota keluarga Muhamad Hafzan membayar denda itu.
Muhamad Hafzan didakwa secara sedar membuat kenyataan jelik dengan niat menyakiti institusi Kesultanan Johor dan Pahang serta rakyat menggunakan aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rashidah Rijal’ iaitu nama bekas tunangnya yang juga merupakan seorang anggota polis.
Kesalahan itu dilakukan di Blok G-T03-U09 Pangsapuri Putra Damai, Presint 11, Putrajaya, pukul 4 petang pada 6 Jun tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan.
Terdahulu Zamani merayu supaya anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara atas alasan Muhamad Hafzan perlu menyara ibu dan dua adiknya yang masih bersekolah selain menyesal dan insaf dengan perbuatannya itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatan tertuduh itu telah melanggar prinsip kedua Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.
Keluarga tertuduh termasuk ibu dan adiknya hadir di mahkamah hari ini.
Mengikut fakta kes, bekas tunang tertuduh menerima pesanan daripada rakannya berhubung status yang dimuat naik ke laman Facebooknya (Rashidah Rijal).
Pengadu mengesyaki perbuatan itu dilakukan bekas tunangnya kerana kad memori telefon bimbit pengadu disimpan tertuduh dan pengadu kemudiannya membuat laporan polis. – BERNAMA