"Hulubalang" UMNO Negeri Kedah tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang menyerang Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang sebelum ini "diserang" beberapa "tentera siber" di laman sosial.
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sebagai seorang "arkitek" yang berjaya merampas kembali kerajaan negeri Kedah dari tangan PAS, Ahmad Bashah, seumpama bapa bagi mereka dan tetap akan dipertahankan.
"Beliaulah 'arkitek' sebenar yang menyusun gerak kerja, strategi dan menyatupadukan seluruh warga UMNO di negeri Kedah sehingga berjaya membawa kemenangan manis, merampas kembali bumi jelapang padi dari tangan-tangan yang 'meliwat' Kedah selama 5 tahun.
"Selaku hulubalang UMNO Bahagian Alor Setar, maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mempertahankan imej dan integriti Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
"Pada saya, mungkin tidak salah untuk mengkritik pemimpin, namun biarlah bertempat, rasional, dilakukan ikhlas untuk kebaikan dan berniat membina.
"Menegur pemimpin bukanlah dengan cara memalukan mereka, menuduh mereka dengan tuduhan tidak berasas bukti yang kukuh atau tergamak menjadi pengkhianat, 'gunting dalam lipatan' yang bermuka-muka di depan, tapi berwajah syaitan di belakang!," tulisnya di laman blog beliau, http://bilashahabudinberbicara.blogspot.my.
Ahmad Bashah sebelum ini "diserang" oleh beberapa "tentera siber" yang mendakwa kononnya "pejuang UMNO" menerusi video yang memaparkan beliau terlelap seketika di sebuah majlis keraian di sebuah istana di negeri Kedah.
Syed Mohd Johan turut mempersoal motif serangan yang dibuat terhadap Timbalan Menteri KPDNKK itu memandangkan Ahmad Bashah langsung tidak "mengusik" hidup mereka selama ini.
"Apakah rasional pihak dan kumpulan cybertroopers yang dikatakan 'upahan' itu menyerang Dato' Seri Ahmad Bashah? Pernahkah Ketua UMNO Bahagian saya itu menyerang, menghentam, menganiaya atau berlaku zalim terhadap mereka?
"Saya akui cybertroopers amat penting di zaman ini, namun apakah itu etika dan kualiti seorang pejuang cyber UMNO yang diperlukan? Layakkah mereka mendabik dada mendakwa mereka itu kononnya 'pejuang UMNO'?
"Lebih pelik lagi, yang diserang mereka bukan pemimpin pembangkang, tapi pemimpin UMNO lain termasuk di pemimpin di peringkat pusat yang diserang?
"Tambahan pula desas-desus khabarnya mereka dibiayai pihak tertentu yang berkait rapat di bawah seliaan pejabat Menteri Besar, bertambah naik tocanglah mereka. Itu cybertroopers UMNO atau 'polong penghisap darah' sebenarnya?", tulisnya lagi.
Ahmad Bashah hari ini bersama majoriti kepimpinan UMNO Negeri dan kerajaan negeri telah membuat satu sidang akhbar menegaskan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar.
Majlis berkenaan dihadiri oleh majoriti Ketua-Ketua UMNO Bahagian, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua Pemuda dan Puteri UMNO Negeri, pemimpin utama UMNO dari seluruh negeri Kedah. -Kedahnews.com