SEORANG ibu dari Segamat, Johor, Norizan Marsadi, 39; terpaksa memasuki kelas demi menjaga nafas anaknya, Mohammad Raeez Ramdhan Mohd Zulkifli, 7; yang perlu dipantau 24 jam olehnya.
“Sejak hari pertama Mohammad Raeez melangkah ke sekolah, saya juga bagaikan kembali belajar di tahun satu kerana berada di sisinya mengikuti setiap mata pelajaran diajar guru.
“Apa yang paling penting, kehadiran saya untuk memastikan nafasnya tidak terhenti,” katanya yang dilaporkan Harian Metro.
Anak keempat daripada enam beradik itu mengalami komplikasi pernafasan dan jantung berlubang sejak kecil menyebabkan doktor menebuk lubang di kerongkongnya untuk memasukkan alat bantuan pernafasan bagi membolehkan dia bernafas.
“Jika saluran pernafasan pada lehernya tersumbat dengan kahak atau tidak sempurna, Mohammad Raeez tidak dapat bernafas dengan baik menyebabkan mukanya menjadi biru dan jika tidak bertindak segera, dia tidak boleh bernafas,” katanya lagi.
Guru besar Sekolah Kebangsaan Pogoh, Norizan Jantan berkata, pihak sekolah memberikan kelonggaran terhadap Norizan untuk menemani anaknya supaya tidak berlaku sesuatu yang boleh mengganggu kesihatannya.
Alat pernafasan yang digunakan anaknya berharga RM200 itu perlu ditukar setiap 60 hari supaya tidak berlaku jangkitan kuman.
Mohammad Raeez juga terpaksa menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara setiap bulan selain ke Pusat Perubatan Universiti Malaya menjalani pemeriksaan kesihatan. –Kedahnews.com