Sebagai seorang ibu, tiada apa yang diharapkan selain mengetahui anak berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Begitulah jugalah yang dirasai oleh ibu gadis ‘culik’, Asmah Mamai, 33; yang meluahkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya pihak polis yang telah berjaya menjejaki anaknya yang "hilang".
Pada masa yang sama, Asmah turut memohon maaf kepada orang ramai sekiranya kehilangan anaknya ini telah memberi kesan negatif.
“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tak jemu mengikuti perkembangan kes anak saya, saya minta maaf seandainya kalau selama kehilangan anak saya ada perkara negatif yang berlaku.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada PDRM yang selama ini bertungkus lumus menjalankan tugas mereka untuk menjejaki anak saya yang hilang. SEKIAN TERIMA KASIH,” tulisnya menerusi laman akaun Facebook miliknya.
Menurut Asmah, berita penemuan anaknya diketahui kira-kira pukul 1 tengah hari Jumaat selepas dimaklumkan oleh pihak polis.
Nur Amirah Athirah Abdul Majid, 14; dilaporkan ditemui pihak polis berdekatan Stesen Minyak di Banting, Selangor kira-kira pukul 10 malam Khamis.
Hasil siasatan, remaja ini mengakui membuat panggilan palsu menyatakan konon dirinya diculik kerana ingin mengikut teman lelakinya dan mahu hidup bebas. – Kedahnews.com