Ibu Usia 30an Lahirkan Bayi Yang Lebih Sihat Dan Cerdik - Kajian

Gambar Hiasan
LONDON - Sebuah kajian menyimpulkan bahawa ibu yang melahirkan anak mereka pada usia 30 tahun atau lebih dikatakan cenderung untuk memperoleh bayi yang lebih sihat dan cerdik.

Menurut kajian itu lagi, ibu yang melahirkan anak mereka pada usia 40 tahun atau lebih dari usia itu pula dikatakan cenderung untuk memperoleh bayi yang mungkin berhadapan dengan masalah obesiti.

Memetik laporan media antarabangsa, Metro.co.uk, kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal bertajuk Biodemography dan Biologi sosial.

Selain itu, kajian tersebut juga menyimpulkan bahawa usia ibu boleh memberi kesan kepada perkembangan anak-anak mereka.

Katanya, para saintis mendapati bayi yang berada dalam kandungan ibu yang berusia 30-an mempunyai tahap kognitif tertinggi.

Menjelaskan keadaan tersebut, pakar penyelidik, Dr Alice Goisis berkata, ibu yang mengandung dan melahirkan anak pada usia 30-an mungkin lebih berpendidikan, mempunyai pendapatan yang lebih tinggi, mempunyai gaya hidup sihat dan lebih cenderung untuk berada dalam hubungan yang stabil.

Menurut Dr Goisis lagi, kenyataan tersebut disokong oleh data yang diperoleh daripada kajian daripada Millennium Cohort iaitu satu program yang mengikuti perkembangan 18,000 kanak-kanak di United Kingdom. -Kedahnews.com