Idris Jusoh Ikrar Komitmen Tidak Biarkan Pelajar IPT Lapar Lagi

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bercakap pada sidang media mengenai pemerkasaan prosedur pengambilan pelajar antarabangsa di kementeriannya, Rabu. - Foto BERNAMA
BESUT – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh memberi jaminan akan memastikan nasib pelajar di universiti awam yang mempunyai masalah kewangan hingga menyebabkan mereka kelaparan akan terbela.

Beliau juga pada masa sama telah mengeluarkan arahan kepada pihak pentadbiran universiti termasuk Pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) mengenal pasti setiap pelajar yang menghadapi masalah kewangan dan melaporkan segera kepada beliau dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Saya sendiri bagi komitmen akan memastikan jika ada pelajar yang lapar saya sendiri pastikan mereka tidak akan berlapar lagi.

“KPT juga sudah keluarkan arahan jika ada pelajar-pelajar yang lapar dan tidak dapat makan sila buat aduan kepada KPT dan pihak universiti, Insya Allah nasib setiap seorang akan terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan dan perasmian Makmal Sains NBOS-PILS KPT kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK Tengku Mahmud 2, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Asma Ismail, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin dan Pengetua SMK Tengku Mahmud 2, Che Zainon Che Salleh.

Idris yang juga Anggota Parlimen Besut mengambil maklum isu pelajar terpaksa mengikat perut di universiti akibat masalah kewangan berikutan kos sara hidup yang tinggi adalah isu yang besar dan kini isu berkenaan menjadi viral di laman media sosial Facebook.

Bagaimanapun katanya isu tersebut tidak wajar diperbesarkan di media massa memandangkan pihak KPT dan universiti sentiasa mengutamakan kebajikan pelajar dan telah melakukan pelbagai inisiatif bagi membantu dan membela nasib pelajar yang terlibat.

Beliau juga menegaskan terdapat pelbagai bentuk pembiayaan yang disediakan bagi membantu kewangan para pelajar seperti Tabung Pendidikan Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), kad siswa, zakat, tabung kebajikan dan wakaf.

“Peluang pekerjaan dalam kampus turut diwujudkan dengan kadar RM3 hingga RM10 sejam seperti menjadi tutor atau bekerja di kafe. Jadi saya harap tidak ada pihak yang memanipulasi isu ini,” katanya. – BERNAMA